Gelanggang skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil bakal kembali bergema dengan sorakan ribuan penyokong apabila diumumkan sebagai gelanggang rasmi perlawanan akhir Piala Malaysi 2021 pada 30 November ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Malaysian Football League (MFL) semalam setelah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2021 yang dipengerusikan oleh Presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan di Hotel TH, Kelana Jaya.

Mesyuarat pertama itu dihadiri wakil agensi-agensi yang terlibat dalam penganjuran sempena 100 tahun TM Piala Malaysia antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline International Sdn Bhd, Dato’ Zairil Ayu Ibrahim, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad, Timbalan Pengawal DCC Bahagian KDN/KA IPD Cheras, Insp. A. Dventaran, Penguasa Bomba Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tuan Muhammad Ridhwan Kamaruzaman, Ketua Pegawai Operasi LRT, Prasarana Malaysia Berhad, Azmi Md Zain, Ketua Wilayah Tengah Rapid Bus, Prasarana Malaysia Berhad, Osman Amir, Wakil Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Nadzri Abd Wahab, Ketua Jabatan Sains Sukan FAM, S Sivanesvaran dan Eksekutif Jabatan Pengadil FAM, Ahmad Zani Wan Lah.

“Kesemua pihak diberikan taklimat secara jelas dan terperinci mengenai pengurusan perlawanan akhir itu termasuk daripada aspek operasi dan teknikal, promosi dan pemasaran, penyiaran, media, pegawai perlawanan, keselamatan, pengangkutan dan penjualan tiket secara dalam talian pada final yang bakal berlangsung pada 30 November 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata MFL dalam satu kenyataan.

Stadium yang mempunyai kapasiti 90,000 itu sebelum ini ditutup selama hampir 2 tahun kerana penularan wabak pandemik COVID-19 sehingga tidak dapat menganjurkan sebarang perlawanan antarabangsa.

Pada bulan Jun lalu, ia dibuka semula untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar bagi membolehkan lebih ramai rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang divaksin, dengan tumpuan kepada rakyat yang berusia 40 tahun ke bawah

PPV Bukit Jalil kemudian menutup operasinya pada bulan Oktober 2021 setelah berjaya mencapai lebih daripada 730,000 dos vaksin dan antara yang memberi sumbangan penting kepada kadar vaksinasi negara yang kini telah mencatatkan lebih 85% populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi.

Keadaan di dalam Stadium Bukit Jalil ketika dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah pada 19 November 2019 ketika menewaskan Indonesia 2-0 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 nanti hanya akan dihadiri oleh para penyokong yang sudah lengkap 2 dos vaksin sahaja dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.

Baca artikel lain mengenai Stadium Nasional Bukit Jalil melalui pautan dibawah. 

Brendan Gan: Tiada Yang Mampu Menandingi “Atmosphere” Stadium Nasional Bukit Jalil

‘Rumput Lembu’ Di Stadium Nasional Bukit Jalil Bakal Ditukar

Sistem VAR Sedang Diuji Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Persediaan Untuk Perlawanan AFC Champions League 2020?