Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengumumkan pertukaran venue perlawanan home pertama Selangor musim ini dari Stadium Shah Alam ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Langkah itu dibuat setelah Malaysian Football League (MFL) memaklumkan bahawa Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan selepas hasil pemeriksaan mendapati keadaan semasa bumbung masih tidak selamat.

Bagaimanapun, menurut kenyataan daripada FAS, mereka tetap akan menggunakan Stadium Shah Alam pada perlawanan yang seterusnya dan memastikan kerja-kerja baik pulih berjalan.

“Buat masa ini, keputusan ini hanyalah untuk perlawanan Home pertama Selangor. Kami akan meneruskan usaha-usaha yang perlu dilakukan di Stadium Shah Alam demi memastikan ia selamat untuk digunakan bagi perlawanan home seterusnya menentang pasukan Sarawak United pada pertengahan bulan Mac.

“Dalam pada itu, FA Selangor bersama-sama DEFM dan Kerajaan Negeri Selangor juga sedang mengatur strategi jangka masa pendek dan panjang demi memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang,” kata kenyataan tersebut.

MFL mendapati Stadium Shah Alam yang didaftar menjadi gelangang tuan rumah bagi pasukan CIMB Liga Super, Selangor pada musim ini tidak berada di tahap menyakinkan bermula pemeriksaan keselamatan pertama pada 10 Januari 2020 disusuli pemeriksaan kedua (21 Februari) dan ketiga (28 Februari).

Oleh itu, MFL menggesa agar Selangor mencari stadium lain bagi dijadikan sebagai alternatif memandangkan Stadium Shah Alam tidak selamat untuk digunakan.

Selain Stadium Shah Alam, Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) turut tidak mendapat kebenaran daripada MFL untuk digunakan bagi sebarang perlawanan Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani menyatakan bahawa, hasil pemeriksaan Stadium MBPJ mendapati keadaan padang tidak berada di tahap terbaik bagi pengelolaan perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Baca artikel lain mengenai isu Stadium Shah Alam yang dilaporkan sebelum ini:

FAS Dan Pengelola Stadium Shah Alam Giat Berusaha Dapatkan Kelulusan

Stadium Shah Alam Akan Diperiksa Buat Kali Kedua Dalam Minggu Ini, Kerosakan Bumbung Jadi Fokus Utama

Pegawai Undang-Undang Ini Berkongsi Pandangan Isu Keselamatan Stadium Shah Alam Dari Sudut Perundangan