Meskipun skuad Tambadau berjaya mencatat kemenangan pertama dalam saingan CIMB Liga Super 2020 selepas menewaskan Felda United, 3-1 pada hari Sabtu lepas, namun beberapa penyokong meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) tidak membenarkan sebarang ‘bunyi bising’ di dalam Stadium Likas.

Peraturan mengenai larangan kemasukan alat muzik seperti gendang ke dalam stadium tersebut telah dikuatkuasakan sejak tahun lepas namun apa yang menghairankan ialah tong gelen yang bukan sejenis alat muzik turut tidak dibenarkan.

Niat seorang penyokong membawa masuk tong gelen adalah untuk mengikut rentak sorak bagi memeriahkan suasana namun beberapa minit kemudian mereka ditahan oleh pihak polis dan tong gelen itu dirampas atas arahan daripada pihak atasan.

Situasi itu menyebabkan Stadium Likas tiba-tiba bertukar sunyi sepi ibarat sebuah perpustakaan tanpa sebarang ketukan alat muzik daripada penyokong.

Screen Shot 2020-03-09 at 1.01.53 PM (2)
Sumber: SabahHawks Diehard Fanclub

Menurut kenyataan daripada laman facebook SabahHawks Diehard Fanclub, pihak pengurusan SAFA sudah pun memanggil kelab penyokong untuk berunding dan mereka sedia mematuhi larangan membawa masuk gendang tetapi masih lagi dihalang melakukan beberapa perkara.

Apa yang mengecewakan mereka ialah tindakan SAFA seolah-olah tidak menghargai sokongan padu daripada penyokong dan tidak ambil peduli mengenai jumlah kehadiran yang semakin merosot dalam setiap perlawanan.

“Semua permintaan kamu (SAFA) sudah kami akur, hanya satu permintaan kami untuk memeriahkan Stadium, itu pun kamu tidak endahkan..,” kata kenyataan daripada laman SabahHawks Diehard Fanclub.

Tahun lalu, penyokong Sabah bertindak memboikot perlawanan upacara penyerahan trofi kejuaraan Liga Premier 2019 di stadium tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian daripada penyokong setia terutamanya North Borneo Ultras (NBU) tetap hadir membawa gendang memberikan sokongan padu ketika perlawanan berlangsung di tempat lawan kerana tidak terikat dengan peraturan ‘kuku besi’ oleh SAFA.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Sabah melalui pautan dibawah.

Sabah Sasar Satu Piala Pada Saingan Liga Malaysia Musim 2020

Liga Malaysia 2020: Tonggak Tengah Skuad Kebangsaan Namibia Sertai Sabah

Tewas Kepada Persebaya, Sabah Dapat Pengajaran Yang Berguna