Skuad Tok Gajah sekali lagi gagal manfaatkan kelebihan di halaman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Sabah dalam perlawanan Liga Super yang cukup dramatik di Stadium Darul Makmur hari ini.

Kedua-dua pasukan pada awalnya masih mencari rentak apatah lagi Sabah beraksi tanpa kelibat tiga tonggak import. Perlawanan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sabah bangkit melakukan percubaan berbahaya. Peluang terbaik Sabah hadir daripada percubaan Saddil Ramdani tetapi rembatan pemain import itu ditepis penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.

Kem Tok Gajah kembali ceria apabila Steven Rodriguez menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke 86 hasil hantaran Baqiuddin dari sebelah kiri.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk mempamerkan kebangkitkan di minit akhir perlawanan.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada Sri Pahang namun pemain pertahanan, Dominic Tan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 90 dalam situasi kelam kabut di kotak penalti tuan rumah.

Pemain import Sabah dari Korea Selatan, Park Tae-su kemudian menambah derita Tok Gajah selepas merembat masuk gol kemenangan sekaligus memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Kemenangan ini cukup penting bagi Sabah kerana ia mencerahkan peluang mereka untuk memburu tiket beraksi di Piala AFC musim depan.

Bagaimanapun, Sabah berdepan tugas sukar dalam perlawanan terakhir selepas ini kerana bakal berdepan juara Liga Super, JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Hanya tiga diperlukan oleh skuad Badak untuk mengesahkan slot Piala AFC kerana dua pencabar terdekat iaitu Terengganu dan Negeri Sembilan turut mempunyai peluang memintas mereka.

Pengendali Sri Pahang, Dato Dollah Salleh mengakui kecewa dengan kesilapan pemainnya di minit akhir perlawanan walaupun memperolehi banyak peluang terhidang.

“Kita banyak mencipta peluang dan menguasai permainan. Cuma itulah, kita tak manfaatkan beberapa peluang yang sepatutnya kita dapat menjaringkan gol. Jadi, dekat situ kita terima padahnya dan pula tu di minit terakhir.

“Sudah pasti saya kecewa tetapi secara keseluruhannya persembahan pemain nampak banyak peningkatan,” jelas Dato Dollah kepada media MFL selepas perlawanan berakhir.