Skuad Tok Gajah mampamerkan belang sebenar dalam aksi kedua Liga Super 2023 apabila mencatat kemenangan 4-1 ke atas TRW Kelantan di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Pesta gol Sri Pahang bermula seawal minit ke 12 apabila pemain import dari Liberia, Kpah Sherman merembat masuk bola ditampan oleh pemain pertahanan Kelantan, Kim Min Gyu dalam kawasan kotak penalti.

Hujan lebat yang turun tanpa henti jelas memberi kelebihan pada Sri Pahang kerana keadaan padang yang licin dan basah telah menjejaskan rentak permainan pasukan pelawat sehingga memberi kesukaran untuk mencari gol pertama.

Pada minit ke 38, Stadium Darul Makmur kembali bergegar dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila pemain tengah dari Filipina, Kevin Ingreso menambah gol kedua menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti yang mudah menewaskan penjaga gol Kelantan, Rozaimi Rahamat.

Jaringan itu juga memberi semangat tambahan kepada skuad kendalian Fandi Ahmad untuk terus mengandakan asakan dan hasilnya Sergio Aguero berjaya mencatat nama sebagai penjaring selepas melakukan rembatan deras yang menghadiahkan gol ketiga.

Satu minit sebelum tamat separuh masa pertama, Tok Gajah sekali lagi menambah gol keempat dan kali ini menerusi pemain import Argentina, Stefano Brundo yang mengambil kesempatan menolak masuk bola ke gawang gol lawan dalam situasi kelam kabut.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bagaimanapun, skuad TRW Kelantan mempamerkan corak permainan yang lebih baik pada separuh masa kedua dan bangkit dengan lebih garang.

Malah, mereka hampir memperolehi gol pertama pada minit ke 71 tetapi sepakan percuma kapten pasukan, Mario Argues gagal disambar oleh Carli De Murga yang berada di depan gawang gol Sri Pahang.

Tersentak dengan kebangkitan pasukan pelawat, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Malik Mat Arif menggantikan tempat Azam Azih untuk memperkuatkan jentera serangan.

Selain itu, David Rowley dan pemain import Uzbekistan, Sherzod Faziyev turut dimasukkan untuk mengimbangi kekuatan di bahagian pertahanan.

Namun begitu, percaturan tersebut tidak berjaya memberikan gol tambahan kepada tok gajah sebaliknya Kelantan berjaya memperolehi gol sagu hati menerusi Miguel Cifuentes yang menolak masuk bola muntah Zarif Irfan di minit akhir perlawanan.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Hasil kemenangan itu bermakna Sri Pahang kini mengumpulkan 4 mata dan berada di kedudukan ke-5 Liga Super.

Tugas sukar sedang menanti Tok Gajah pada hari ahad ini apabila dijadualkan bertemu Selangor dan ia adalah salah satu perlawanan tumpuan peminat bola sepak tempatan.