Sri Pahang masih belum selesai dalam mendapatkan khidmat pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2022.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, Pahang semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penjaga gol skuad kebangsaan Mali, Mamadou Samassa sekaligus menjadi kelab kedua yang menggunakan penjaga gol import selepas Kuala Lumpur City FC.

Mamadou Samassa mempunyai pengalaman beraksi di beberapa liga di Eropah antaranya di Perancis bersama Guingamp dan Troyes. Pemain berusia 31 tahun itu juga pernah beraksi di Turki bersama Sivasspor dan ketika ini beliau menyarung jersi kelab Greece, Levadiakos.

Samassa pernah beraksi bersama skuad remaja Perancis sebelum memutuskan untuk mewakili Mali di peringkat antarabangsa dan beliau membantu negara itu menduduki tempat ketiga dalam temasya Piala Negara-Negara Afrika pada edisi 2013.

Sekiranya Samassa menandatangani kontrak bersama Pahang, maka beliau akan menjadi penjaga gol nombor satu pasukan itu sekaligus menggantikan Helmi Eliza yang tidak diberikan kontrak lanjutan.

Musim lalu, Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 selain gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia dan mereka bertekad untuk tidak mengulangi prestasi hambar yang ditampilkan pada musim lalu.

Setakat ini, Pahang telah membawa masuk beberapa pemain seperti Johan Martial yang juga abang kepada pemain sayap Manchester United, Anthony Martial, David Rowley, Sean Gan Gianelli, Fandi Othman, Azwan Aripin, Faizal Arif dan Wan Amirzafran Wan Nadris.

Bagi memperkuatkan bahagian serangan pula, skuad bimbingan Christophe Gamel itu menandatangani penyerang skuad kebangsaan Jordan, Mahmoud Za’tara yang bakal digandingkan dengan pemain import sedia ada iaitu Manuel Hidalgo. Seorang lagi pemain import yang dikaitkan ialah penyerang skuad kebangsaan Laos, Billy Ketkeophomphone.

Dua pemain dari skuad musim lalu, Muslim Ahmad dan Nick Swirad mendapatkan kontrak lanjutan dan kedua-dua pemain ini bakal berebut tempat bagi mengisi posisi pertahanan dalam kesebelasan utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Bekas Ketua Polis KL Dipilih Mengetuai Badan Bebas Siasat Kegagalan Harimau Malaya Di Piala Suzuki AFF 2020

VIDEO: Sepakan Percuma Hafiz Kamal Masih Memukau

Jurulatih Dari Jepun Atau Korea Selatan Jadi Pilihan Kendalikan Pasukan Negara