Sri Pahang sekali lagi kempunan untuk mengutip 3 mata di halaman sendiri apabila mereka terikat 1-1 dengan Melaka United pada perlawanan ke 14 Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Gialuigi Dollohrumma menurunkan pemain terbaik dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah dan mereka terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal 40 saat menerusi tandukan Manuel Hidalgo.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahahkan semangat pemain Melaka United untuk terus mencari jaringan penyamaan dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Sri Pahang melancarkan serangan bertali arus ke kubu Melaka namun keadaan lampu limpah stadium yang terpadam selama 15 minit telah menyebabkan perlawanan terhenti seketika sehingga menggangu rentak permainan kedua-dua pasukan.

Tok Gajah juga berpeluang menambah gol kedua pada minit ke 80 tetapi malangnya Herold Goulon gagal menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil selepas berlaku kekasaran ke atas Malik Arif.

Percaturan Zainal Abidin memasukkan Wan Zaharulnizam membuahkan hasil apabila bekas pemain Kelantan itu menyudahkan hantaran cantik dari sebelah kiri untuk gol penyamaan pada minit ke 97.

Ia adalah hukuman terhadap kelekaan benteng pertahanan Sri Pahang dan kegagalan mereka menyudahkan beberapa peluang terhidang. Peluang terbaik untuk tuan rumah mengutip 3 mata juga hadir pada minit akhir perlawanan melalui sepakan percuma namun percubaan Malik Arif terkena tiang walaupun penjaga gol lawan sudah tertewas.

Keputusan 1-1 tersebut memastikan Sri Pahang kekal di tangga ke 9 dengan 13 mata manakala Melaka United berada di kedudukan 10 dengan 12 mata. Kedua-dua pasukan bawahan ini masih bergelut untuk mengelakkan daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Liga Super 2021: Kebangkitan Babak Kedua Beri Kemenangan Buat JDT Atasi UiTM FC

Liga Super 2021: Terengganu Berpesta, Belasah Perak Di Gong Badak