Aksi terakhir Liga Super 2022 diantara Sri Pahang (SRP) menentang Negeri Sembilan (NSFC) di Stadium Darul Makmur malam esok dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Ini perlawanan yang cukup penting kerana ia bakal menentukan nasib Negeri Sembilan bagi memburu tempat beraksi di Piala AFC pada tahun depan.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, NSFC yang berada di tangga keempat hanya dipisahkan 1 mata dengan dua pencabar terdekat, Terengganu di tangga ketiga.

Disebabkan perbezaan dari segi jaringan, NSFC wajib mengutip 3 mata untuk memintas kedudukan Sabah di tangga kedua sekaligus mengesahkan tiket ke Piala AFC 2023 selaku naib juara Liga Super 2022.

Bagaimanapun, tugas sukar sedang menanti NSFC kerana Sri Pahang juga tidak mahu kalah bagi mengelakkan daripada bertemu JDT dalam saingan Piala Malaysia 2022 yang dijadualkan bermula 25 Oktober ini.

Tok Gajah kini berada di tangga kelapan Liga Super dengan 25 mata dan hanya dipisahkan dua mata dengan pasukan di tangga kesembilan, PJ City (23 mata).

Berdasarkan undian Piala Malaysia yang berlangsung pada minggu lepas, pasukan di tempat ke-9 Liga Super akan bertemu JDT di pusingan awal.

“PJ City berada di belakang dan boleh memintas jika mereka menang. Segalanya boleh berlaku dan kita perlu lebih bersedia.

“Mereka (PJ City) ada peluang dan kita tidak boleh tewas kepada NSFC untuk mengelak menamatkan saingan liga di kedudukan kesembilan.

“Kita tidak boleh kehilangan mata dan perlu kekal fokus untuk menyekat lawan daripada memperoleh mata,” kata pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh kepada Berita Harian.

Selain NSFC, Sabah juga berdepan tugas mencabar kerana akan bertemu juara Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, manakala Terengganu yang konsisten mengutip 3 mata dalam 8 perlawanan berturut-turut akan menentang Kedah Darul Aman di Alor Star.

Pasukan manakah yang akan mendapat tiket ke Piala AFC tahun depan? Ianya  sengit dan menarik untuk disaksikan oleh seluruh peminat bola sepak tempatan.