Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengesahkan terdapat beberapa pemain dalam pasukannya berdepan kecederaan dan bakal melakukan sedikit perubahan dalam perlawanan Liga Super menentang JDT malam ini.

Kali terakhir Sri Pahang menang ke atas JDT dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2014 dan Gamel enggan melihat rekod itu sebagai tekanan memandangkan skuadnya kali ini lebih menggunakan kudrat pemain muda.

“Tidak perlu untuk melihat rekod itu sekarang sebab saya datang ke sini dengan sebahagian pemain utama tidak dapat bermain dan lebih ramai pemain muda.

“Jadi pentingnya untuk mereka memberikan 200 peratus di atas padang bagi memberi tentangan sengit.

“Akan ada beberapa perubahan sebab saya sekarang ada tiga kecederaan daripada perlawanan lepas, tapi saya tidak mahu berkongsi lebih mengenai perkara itu”, katanya kepada MFL.

Berdepan dengan lawan yang nyata mempunyai barisan serangan berkualiti, Gamel mengakui perlawanan ini akan lebih sukar di mana JDT pastinya enggan memberi laluan mudah untuk mereka terus meraih kemenangan.

Justeru, beliau mahu pemain lebih kreatif dalam mengembangkan lagi corak permainan untuk memastikan mereka mampu mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.

Apa yang pasti, Sri Pahang nyata ingin kembali bangkit daripada kekalahan lalu kepada Sarawak United FC meskipun sedar JDT mempunyai kelebihan apatah lagi beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

“Mereka mempunyai serangan yang berbisa manakala kami pula masih belum dapat sebarang ‘clean sheet’ setakat ini, jadi ia jelas membuktikan tugas berat yang kami akan hadapi nanti.

“Kebanyakan daripada pemain masih belum berada di tahap yang terbaik, jadi memang kita kena cuba untuk mengembangkan lagi corak perlawanan seleps ini.

“Apa yang penting, mereka perlu menikmati sepanjang perlawanan dengan lebih baik tidak kira apa pun yang berlaku”, jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

TMJ Ajak Penyokong JDT Penuhi Stadium Untuk Aksi Liga Super Lawan Sri Pahang

Sabah Pasukan Pertama Tempah Tiket Ke Suku Akhir Piala FA 2022

Syihan Hazmi Nafi Baca Mantera Depan Pintu Gol

Lebih 22,000 Penyokong Telah Hadir Menyaksikan Perlawanan Derbi Selatan Di Stadium Paroi