Sri Pahang muncul sebagai pasukan kedua yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menewaskan PDRM 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ.

Keputusan itu menyaksikan Tok Gajah melonjak ke tangga keempat dengan 13 mata, mengatasi Sabah menerusi beza jaringan selepas mengharungi 7 perlawanan.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Fandi Ahmad bermula garang dengan misi untuk menamatkan badi seri yang sering menghantui pasukan tersebut.

Pada minit ke 18, Sri Pahang memperolehi gol pertama menerusi rembatan Baqiuddin Samsudin yang tertampan oleh pertahanan PDRM sekaligus masuk ke gawang sendiri.

Jaringan tersebut turut membangkitkan semangat para pemain tok gajah untuk terus mengandakan asakan dan usaha itu membuahkan hasil apabila kedudukan berubah kepada 2-0 tiga minit kemudian.

Gol kedua itu terjadi menerusi gerakan menarik antara Kpah Sherman dan Syazwan Andik di dalam kawasan kotak penalti, yang diakhiri dengan sentuhan penyudah tenang Sherman.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun ia masih tidak mematahkan semangat pemain PDRM untuk bangkit mengatur serangan di separuh kedua.

Perlawanan mula menjadi rancak apabila PDRM melakukan serangan bertubi-tubi namun ketangkasan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan menafikan beberapa percubaan berbahaya.

PDRM akhirnya berjaya mendapatkan gol pertama setelah pemain pertahanan import, James Okwuosa menanduk masuk hantaran Amirul Wa’ie Ya’acob pada minit ke-76.

Sri Pahang juga nyaris menjaringkan gol ketiga dalam situasi kelam kabut di gawang PDRM tetapi malangnya percubaan David Rowley tersasar.

Keputusan 2-1 kekal sehingga berakhir 90 minit permainan sekaligsus menghadiahkan 3 mata penuh kepada skuad Tok Gajah.