Sri Pahang telah memulakan langkah untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan dimana mereka dikhabarkan telah berjaya mendapatkan dua pemain baharu iaitu Azrif Nasrulhaq dan Kpah Sherman.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana kelab dari Pantai Timur itu bakal dibimbing sepenuhnya oleh jurulatih dari Singapura, Fandi Ahmad.

Kpah Sherman beraksi bersama Terengganu musim lepas dan beliau menampilkan prestasi yang agak baik di bahagian serangan dimana pemain dari Liberia itu menjaringkan 13 gol, enam dalam saingan Liga Super dan tujuh dalam saingan Piala Malaysia yang turut menjadikan beliau antara penjaring terbanyak di samping Bergson.

Catatan paling cemerlang Kpah dalam saingan Liga Malaysia ialah pada musim 2019 ketika beraksi bersama PKNS FC (sekarang Selangor 2) dimana beliau muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 14 gol, dua gol dihadapan penyerang JDT ketika itu iaitu Diogo Luis Santo dan penyerang Selangor ketika itu, Ifedayo Olusegun.

Bagi Azrif Nasrulhaq pula, beliau mula beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak 2016 namun sejak tiga musim kebelakangan ini khidmatnya banyak digunakan oleh JDT II dalam saingan Liga Premier sekaligus kehilangan tempat kepada Matthew Davies dan juga Syahmi Safari.

Kpah sudah terbukti mampu untuk meningkatkan lagi kualiti bahagian serangan Sri Pahang dengan catatan yang telah dilakukannya dan juga pengalaman yang dimiliki sejak 2017 beraksi di Malaysia.

Bagi Azrif, ini merupakan satu peluang keemasan untuk menghidupkan kembali kariernya dengan beraksi secara kerap di saingan tertinggi setelah banyak beraksi di divisyen kedua sebelum ini.

Bagi Fandi Ahmad pula, musim lalu beliau diberikan tanggungjawab sebagai Penasihat Teknikal kelab dan pengendali dari Singapura itu menjadi calon utama untuk membimbing pasukan musim hadapan.

“Fandi adalah pilihan utama ketika ini selepas bersama Sri Pahang pada pertengahan musim dan membantu pasukan memperbaiki kedudukan di dasar Liga Super.

“Kehadiran Fandi ternyata memberikan impak positif walaupun misi menduduki lima kedudukan terbaik saingan Liga Super musim ini tidak kesampaian. “Namun, pengalaman yang ada sebagai jurulatih dan pemain diyakini mampu untuk meletakkan Sri Pahang kembali bersaing merebut kedudukan lebih baik musim depan,” dipetik dari laporan Berita Harian