Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan satu perlawanan persahabatan antarabangsa telah diaturkan pada 5 Oktober ini menentang pasukan di ranking 202 dunia iaitu Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menjelang aksi ketiga kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Hanoi,  pada10 Oktober ini.

70694787_2388611104568973_3453915478563487744_n
GRAFIK: FAM

Malaysia kini berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan G dengan tiga mata selepas mencatat kemenangan ke atas Indonesia (3-2) dan tewas kepada UAE (1-2). Kemenangan ke atas Vietnam penting bagi mencerahkan peluang untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Selepas pulang dari Hanoi, mereka dijangka akan menentang Hong Kong dalam satu lagi perlawanan persahabatan berdasarkan pengesahan daripada pihak Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA).

Bagaimanapun, lokasi perlawanan tersebut masih belum dimuktamadkan secara rasmi kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) minta jaminan keselamatan untuk pasukan pelawat berikutan konflik yang melanda negara tersebut sehingga tercetus rusuhan besar-besaran sejak bulan lalu.

Setakat ini, FAM masih belum mengumumkan secara rasmi mengenai perlawanan menentang Hong Kong dan dijangka akan memuktamadkan sebelum bulan depan.

Baca artikel mengenai perlawanan persahabatan diantara Malaysia menentang Hong Kong untuk mengetahui lebih lanjut.

Hong Kong Atur Perlawanan Persahabatan Menentang Malaysia Pada Bulan Oktober