Syarikat sukan terkemuka antarabangsa, Sport Direct hari ini mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Mereka akan jadi rakan kerjasama Silver Partner bagi tahun 2022 dan 2023.

DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor merangkap Presiden FAS, dan Paul Gibbons, Pengarah Sports Direct Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani kerjasama ini bertempat di Sports Direct HQ, Sunway City bagi menandakan lembaran baharu antara syarikat jualan barangan sukan dan sebuah persatuan bola sepak yang berprestij di negeri Selangor.

Kerjasama ini memberikan fokus utama kepada program-program yang akan dianjurkan oleh FAS terutamanya Selangor Champions League (SCL), FAS Women’s Super League (WSL), FAS Juniors League dan banyak lagi.

SCL yang memasuki edisi keenam merupakan platform yang mengumpulkan pasukan-pasukan amatur terbaik daripada komuniti bola sepak akar umbi negeri Selangor.

Kejohanan yang diilihamkan oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ini akan disertai lebih 500 orang pemain dan akan berlangsung daripada 8 Oktober hingga 10 Disember 2022 yang akan bertempat di Stadium Arena, MBSJ, Subang Jaya.

SCL merupakan kejohanan paling berprestij di negeri Selangor dan telah menerima kunjungan lebih dari 50,000 penyokong setiap edisi serta lebih 3 juta tontonan. Kejohanan ini juga berjaya mencungkil bakat pemain muda ke peringkat yang lebih tinggi.

Sports Direct merupakan peruncit barangan sukan terbesar di United Kingdom berdasarkan hasil dan pengalaman mengendalikan pelbagai portfolio sukan, kecergasan, fesyen dan gaya hidup & jenama.

Sports Direct Malaysia kini mengendalikan 35 cawangan dan menawarkan lebih 75 jenama sukan global terkemuka dengan kepelbagaian dan nilai yang tiada tandingan. USC Fashion ialah tempat sukan bertemu fesyen. Kedai runcit Sports Fashion & Casual Streetwear mereka menghimpunkan banyak jenama antarabangsa untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang unik.