Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang diwakilinya sejak tahun 2020 iaitu ACCS Futsal, masa depan karier legenda futsal dunia, Ricardinho jelas menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat sukan lima sebelah tersebut.

Dengan kualiti hebat yang masih mampu dijelmakannya walaupun sudah berusia 36 tahun, sudah pasti masih banyak kelab futsal ternama terutamanya di Eropah berminat untuk membawa masuk pemenang enam kali anugerah Pemain Terbaik Dunia tersebut.

Ketika masih lagi tiada sebarang perkembangan terkini mengenai pasukan baharu yang bakal diwakilinya, terdapat spekulasi mengatakan sebuah kelab saingan Liga Futsal Profesional Indonesia (PFL), Pendekar United berminat untuk mendapatkan khidmat Ricardinho.

Pendekar United merupakan sebuah pasukan dari Jakarta yang dimiliki oleh Youtuber terkenal Indonesia, Atta Halilintar dan kini berada di kedudukan keempat daripada 12 pasukan bertanding.

Menurut sumber Steve Harris yang cukup sinonim dengan kancah futsal di Asia, beliau mendedahkan Ricardinho akan bersama Pendekar United dalam menghadapi pusingan kedua saingan liga bermula hujung bulan ini.

Lebih membuatkan para peminat futsal di Indonesia teruja dengan spekulasi tersebut apabila laman sosial rasmi Pendekar United juga sudah memuatnaik video yang hanya memberikan tumpuan kepada perkataan ‘Coming Soon’.

Satu keadaan yang seolah-olah memberikan gambaran bahawa ‘perkara besar’ bakal tiba di kelab tersebut dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sekiranya benar Ricardinho akan beraksi bersama Pendekar United, ia bakal menjadi indikasi jelas dalam meningkatkan lagi nilai komersial pentas liga futsal utama di Indonesia itu.

Dalam perkembangan lain, bekas rakan sepasukan Ricardinho di ACCS Futsal iaitu Thiago Bolinha yang merupakan pemain skuad kebangsaan Azerbaijan sah menyertai sebuah lagi kelab saingan PFL, Bintang Timur Surabaya (BTS).

Baca artikel lain mengenai perkembangan futsal seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Trofi Piala Dunia Futsal Pelengkap Karier Gemilang Ricardinho

Nafikan Hasrat Argentina, Portugal Muncul Juara Piala Dunia Futsal 2021

Piala Dunia Futsal: Kebangkitan Hebat Bawa Portugal, Kazakhstan Ke Separuh Akhir

Sumber