Penyerang import baharu Melaka United, Sony Norde tekad membantu pasukannya berada dalam kedudukan 3 teratas CIMB Liga Super Malaysia musim 2020 dan memenangi satu piala.

Beliau yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Haiti pernah membantu kelab Mohun Bagan memenangi Liga India pada musim 2014/2015 dan kemudian raih gelaran juara Piala Federasi pada musim 2016 bersama Mumbai City FC.

“Saya mahu Melaka menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga teratas dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala. Ini sasaran kami dan saya yakin boleh melakukannya.

“Semua pemain bersatu dalam pasukan dan saya boleh lihat kesungguhan mereka ketika dalam perlawanan pra musim. Harap ia dapat diterjemahkan dalam bentuk kejayaan,” katanya seperti dipetik dalam The Star.

82466832_2695085170719541_8872784138634002432_o
FOTO: MELAKA UTD

Sebelum ke Melaka United, beliau menyertai kelab Azerbaijan, Zira FK untuk beraksi dalam liga utama negara itu, Azerbaijan Premier League.

Bagaimanapun, keluarganya tidak begitu gembira tinggal di negara itu sehingga memaksa Norde mengambil keputusan untuk berhijrah ke Malaysia.

“Keluarga saya tidak suka kerana terlalu sejuk tinggal di sana. Saya bercakap dengan ejen dan beliau cadangkan untuk ke Malaysia dan setakat ini kami cukup gembira.

“Jurulatih Melaka (Zainal Abidin Hassan) sentiasa memastikan saya cukup selesa di sini dan saya suka cara beliau melatih kami. Beliau seperti seorang ayah kepada kami. Saya juga gembira dapat berganding dengan Uche yang mempunyai pengalaman luas bermain dalam Liga Malaysia,” jelasnya.

Norde juga pernah menyarung jersi Haiti dalam kejohanan CONCACAF pada tahun 2015 dan Copa America 2016. Pengalaman yang dimiliki Norde bakal memantapkan lagi Skuad Hang Tuah sebagai salah satu pasukan pencabar dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

Enam Pemain Import Tumpuan Saingan Liga Super 2020

Piala Sumbangsih: JDT Tawarkan 100 Tiket Edisi Terhad Tetamu Diraja Kepada Peminat Bertuah

Liga Malaysia 2020: Terengganu FC Terpaksa Lupakan Khidmat Stuart Wark

Sumber