Pemain kelahiran Korea Selatan, Song Ui-yong berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan Singapura apabila telah mendapat status kewarganegaraan yang sah pada 20 Ogos lepas.

Song yang merupakan pemain tengah Lion City Sailors itu telah mengangkat sumpah taat setia sebagai warganegara Singapura di pejabat imigresen dan ia merupakan detik-detik bersejarah dalam hidupnya setelah 10 tahun menetap di negara itu.

“Sebelum saya masuk ke blik, pegawai itu berkata, mulai sekarang kamu adalah rakyat Singapura. Mendengar kata-katanya, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan ini betul-betul menyentuh emosi saya,” katanya dalam laman web rasmi Lion City Sailors.

Pemain yang berusia 27 tahun itu pernah beraksi dengan kelab K-League, Suwon City sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Singapura pada 2012 apabila mendapat tawaran untuk menyertai Home United.

Pada awalnya, Song mengalami kesukaran untuk membiasakan diri dengan persekitaran negara itu dan beliau juga mengambil masa selama beberapa tahun menguasai bahasa inggeris melalui pengaulan bersama rakan sepasukan.

Singapura kini merupakan rumahnya dan keputusan untuk menukarkan passport Korea Selatan adalah demi karier bola sepaknya.

“Saya bercakap dengan pihak pengurusan kelab pada akhir 2015, untuk meminta nasihat mereka mengenai bagaimana saya boleh memohon kewarganegaraan. Saya tahu tempat saya di sini, kerana setiap kali saya kembali ke Singapura setelah mengunjungi keluarga di Korea Selatan – rasanya seperti saya kembali ke tempat yang paling selesa,” katanya.

Song-full-flight
FOTO: Lion City Sailors

Antara perkara yang paling ditunggu-tunggukan oleh beliau ialah panggilan ke skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan di peringkat antarabangsa. Singapura ketika ini diperkuatkan oleh seorang pemain naturalisasi iaitu Daniel Bennet.

Ketika zaman kegemilangan bola sepak negara itu, mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang hebat seperti Alexsandar Duric, Agu Casmir, Qiu Li dan Shi Jiayi yang berjaya membantu pasukan tersebut menjuarai Piala Suzuki AFF sebanyak 3 kali.

“Sudah tentu saya mahu bermain untuk pasukan kebangsaan. Saya mahu sumbang sesuatu untuk negara saya.

“Saya perlu buktikan kemampuan saya untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan. Bagaimanpun, saya bukan sebahagian daripada mana-mana program naturalisasi,” jelasnya.

Mempunyai rekod 20 gol dalam 27 perlawanan pada musim 2018 dan 11 gol dalam 25 perlawanan pada musim 2019 bakal menjadikan pemain itu antara aset penting dalam skuad kebangsaan Singapura.

Malah, musim ini Song juga cemerlang bersama Lion City Sailors apabila menjaringkan 9 gol dalam 11 perlawanan dan berpotensi untuk dipanggil menyertai kem latihan Singapura sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Stadium Antarabangsa Jakarta Gelanggang Baharu Skuad Kebangsaan Indonesia

Thailand Berminat Jadi Tuan Rumah Saingan Piala AFF Suzuki 2021

“Menyertai AFC Satu Kesilapan Besar Australia, Kita Mundur Dari Segenap Sudut Dan Habiskan Duit Begitu Saja.”