Pertembungan bersejarah antara Korea Selatan menentang Korea Utara di Pyongyang nyata memberikan impak yang berbeza untuk Son Heung-min dimana pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris itu menyifatkan pemain pasukan lawan sangat agresif.

Perlawanan antara kedua-dua negara yang secara teknikalnya masih berperang itu diadakan di Stadium Kim Il Sung pada selasa lalu dimana Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino hadir bagi menyaksikan perlawanan.

Namun,pihak berkuasa tempatan melarang penyokong untuk hadir ke stadium. Selain itu, tiada siaran langsung dibuat dan media dalam serta luar negara tidak dibenarkan membuat sebarang liputan membuatkan perlawanan itu sangat tertutup.

Son Heung-min
Son Heung-min

“Kemenangan tidak berpihak kepada kami tetapi perlawanan tersebut sangat agresif dimana saya merasakan satu pencapaian untuk kembali tanpa mengalami kecederaan. Pemain Korea Utara sangat sensitif dan juga agresif. Banyak kata-kata kesat dilaungkan oleh mereka ke arah kami,” kata Son Heung-min menurut laporan Channel News Asia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), Choi Young-il pula tidak berpuas hati serta mengecam sikap agresif yang ditampilkan oleh pemain Korea Utara.

“Seperti berada di medan perang. Saya tidak pernah melihat tahap agresif seperti itu sepanjang menyaksikan perlawanan bola sepak sehingga saat ini,” katanya.

Pertembungan antara dua pasukan Korea itu berakhir dengan keputusan 0-0 dimana kedua-dua pasukan kini mempunyai kutipan mata yang sama iaitu tujuh mata. Namun, skuad kendalian Paulo Bento menduduki tangga teratas kumpulan H dengan perbezaan jaringan.

Baca artikel lain mengenai pasukan Korea Selatan di sini:

Korea Selatan Bakal Bertemu Brazil Dalam Satu Perlawanan Persahabatan

Kelab Amatur Liga Divisyen 3 Korea Selatan Ini Mara Ke Final Piala FA, Slot AFC Champions League Jadi Sasaran