Peledak berbisa Tottenham Hotspur, Son Heung-min menganggap anugerah kasut emas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 yang dimenangi bersama-sama Mohamed Salah adalah hasil sokongan kuat yang diberikan rakan sepasukannya.

Dua jaringan yang dihasilkan pada perlawanan terakhir bertemu Norwich City, Ahad lalu menyaksikan Son mengumpul 23 gol sekali gus menjadi pemain Asia pertama dinobatkan selaku penjaring terbanyak dalam kancah EPL.

Pencapaian tersebut bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraih dimana Son mengakui beliau sedikit tertekan pada perlawanan di Carrow Road itu selepas terlepas dua peluang terbaik.

“Sebelum saya menjaringkan gol, saya terlepas peluang keemasan dimana situasi satu lawan satu [dengan penjaga gol, Tim Krul], tetapi sejujurnya saya masih percaya untuk melakukannya.”

“Semua orang [rakan sepasukan] memberikan dorongan kepada saya [untuk menjaringkan gol],” ujar Son bercakap kepada Spurs TV.

“Sekiranya mengharapkan saya seorang sahaja, sudah tentu saya tidak mampu untuk melakukannya tetapi semua orang yang hampir dengan saya berterusan memberikan memberikan dorongan kepada saya.”

“Lucas [Moura] apabila dia dimasukkan, Stevie [Steven Bergwin], H [Harry Kane], Ben [Davies] dan semua pemain yang hampir dengan saya mengatakan, ‘Sonny, kamu mampu untuk melakukannya, percayalah, anda akan mendapat peluang lain.”

“Dan apabila saya berjaya menjaringkan gol, kemudiannya saya menjaringkan gol kedua, ia sesuatu yang sangat luar biasa.”

“Saya terlepas peluang yang mudah tetapi menjaringkan gol ketika situasi sukar. Saya sangat berterima kasih kepada pasukan ini. Mereka banyak membantu saya terutamanya sepanjang musim, tetapi hari ini [kelmarin] ketika kedudukan 3-0, semua orang seperti,’ Ayuh Sonny, anda layak untuk mendapatkannya’. Saya sangat menghargai semua itu.”

“Rasanya sangat menakjubkan. Apabila anda melihatnya buat pertama kali ia memang suatu yang emosi. Ketika saya kecil, saya mengimpikannya. Sangat luar biasa untuk memiliki anugerah ini, ia berada di tangan saya,” tambah Son Heung-min lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Kylian Mbappe: Impian Untuk Ke Real Madrid Tidak Pernah Padam

Penyokong Newcastle Kecewa Grealish Hina Almiron Dalam Keraian EPL

Kim Pan Gon Sedang Siapkan Senjata Rahsia Untuk Skuad Harimau Malaya