Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak menolak kemungkinan untuk merekrut seorang lagi pemain penyerang dalam usaha memantapkan lagi kelab tersebut pada musim 2021/22 nanti.

Usaha tersebut perlu diambil The Red Devils sebagai pilihan terbaik di posisi penyerang setelah mereka baharu sahaja memeterai kontrak lanjutan buat pemain berpengalaman, Edinson Cavani beberapa hari lalu.

Selain penyerang, pengendali kelahiran Norway itu juga mendedahkan turut mencari pemain sayap kanan yang menjadi keutamaannya.

Sehubungan dengan itu sudah pastinya membuatkan tumpuan pemerhati bola sepak di England mengaitkan usaha untuk membawa masuk peledak berbisa Tottenham Hotspur, Harry Kane ke Old Trafford.

Ia susulan hasrat penyerang berusia 28 tahun itu untuk meninggalkan Tottenham kerana kelab dari London Utara itu masih belum mampu untuk menjulang sebarang trofi kejuaraan.

Bagaimanapun, Solskjaer dilihat enggan mencampuri urusan tersebut meskipun beliau sendiri mengakui mahu memantapkan pasukan dengan membawa penyerang baharu bagi menghadapi kempen musim hadapan.

“Saya tidak mahu memberikan komen tentang pemain dari pasukan lain dan apa yang menjadi spekulasi pada ketika ini.”

“Saya ingin menunjukkan rasa hormat yang tinggi buat Tottenham dan tidak akan membicarakan tentang pemain mereka,” ujar Solskjaer menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Tidak, sudah tentu sahaja saya tidak akan menutup peluang untuk membawa masuk penyerang baharu.”

“Ya, Edi [Edinson Cavani] telah menyambung kontrak baharu, namun ada berapa ramai penyerang bagus yang kami miliki di kelab ini? Dan saya tidak boleh mengatakan kami tidak akan merekrut penyerang baharu. Sudah tentu tidak kerana kami ingin membangunkan skuad yang lebih baik.”

“Kami berada di kedudukan tiga terbaik selama dua musim berturut-turut, tetapi kami masih belum berada di posisi yang kami inginkan. Mudah-mudahan kami dapat memiliki skuad yang lebih baik pada awal musim hadapan dan dapat lebih konsisten dan memberikan cabaran kepada mereka yang berada di hadapan,” tambah Solskjaer lagi.

Baca artikel lain dari kami mengenai Manchester United:

McGregor Berminat Beli Kelab Manchester United

Lima Pemain Manchester United Dengan Gaji Tertinggi Musim 2020/2021

Lagenda Manchester United Tabur Bakti Di Korea Selatan, Park Ji-sung ‘Advisor’ Baharu Jeonbuk Hyundai

Sumber