Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tanpa berselindung mengakui bahawa skuad bimbingannya masih belum mampu untuk menyaingi kehebatan Manchester City yang bergelar juara Liga Perdana Inggeris 2020/21, sebentar tadi.

Lebih perit untuk ditelan, kejayaan The Cityzens menjuarai kempen liga buat kali kelima itu menjelma selepas Manchester United tumbang 1-2 di tangan Leicester City, awal pagi tadi.

Ia juga merupakan kejuaraan EPL ketiga dimenangi oleh Pep Guardiola sepanjang membimbing City selepas turut menjuarainya pada musim 2017/18 dan 2018/19.

Melihatkan kepada perkara tersebut, Solskjaer melihat Manchester United perlu untuk memperkuatkan jentera pasukan pada musim panas ini sekiranya mahu menyaingi musuh tetangganya itu.

“Tahniah diucapkan kepada mereka [Manchester City]. Mereka telah menikmati musim yang sangat hebat,” ujar Solskjaer menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Saya sangat gembira dengan anak-anak buah saya. Kami ingin mengambil langkah seterusnya yang diperlukan dengan membawa masuk beberapa pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan.”

Pada perlawanan bertemu Leicester City yang berlangsung di Old Trafford awal pagi tadi, Luke Thomas dengan tenang menyempurnakan peluang susulan hantaran lintang dilakukan Youri Tielemans untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-10.

Bintang muda tuan rumah, Mason Greenwood kemudiannya kembali menyamakan kedudukan berselang lima minit kemudian selepas percubaan leretnya dalam kawasan penalti gagal dinafikan penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-66, Caglar Soyuncu muncul wira buat The Foxes apabila beliau menanduk masuk bola hasil hantaran Marc Albrighton menerusi sepakan penjuru untuk menghadiahkan kemenangan buat skuad bimbingan Brendan Rodgers itu.

Ia juga merupakan kemenangan pertama buat Leicester City dalam saingan liga di Old Trafford sejak tahun 1998.

Baca artikel lain dari kami mengenai Manchester United:

UEL: Akhirnya Ole Nikmati Final Pertama Bersama Man United

Perlawanan Man United Dan Liverpool Ditunda Kerana Langgar SOP COVID-19

Lima Pemain Manchester United Dengan Gaji Tertinggi Musim 2020/2021

 

Sumber