Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yakin dengan kehadiran Soleen Al-Zou’bi di dalam FAM, masa hadapan bola sepak wanita negara di Malaysia dapat diperhalusi serta diperbaiki.

Soleen yang telah memulakan tugas pada 1 Disember lalu di Wisma FAM, Kelana Jaya akan menjadi pengendali Malayan Tigress serta mengetuai Unit Bolasepak Wanita FAM.

Menurut Datuk Haji Hamidin, pengalaman Soleen sebagai Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) berupaya untuk memberi nafas baharu kepada bola sepak wanita Malaysia.

“Dengan kehadiran Soleen ini, bukan sahaja kita dapat mengenalpasti wajah-wajah baharu dan berpotensi untuk mewakili negara selain memastikan Malayan Tigress mampu untuk memberikan saingan di pentas antarabangsa.

“Pengalaman Soleen di JFA juga sudah tentu dapat memperbaiki pertandingan bola sepak wanita di peringkat nasional sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain-pemain bola sepak wanita di luar sana untuk beraksi.

“Dengan perlantikan Soleen ini, besar harapan saya untuk melihat bola sepak wanita di Malaysia menjadi lebih berkualiti dan kompetitif seperti negara-negara Asia dan Eropah,” kata Datuk Haji Hamidin.

Tambah Datuk Haji Hamidin lagi, satu mesyuarat telah pun diadakan diantara Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob serta Timbalan Pengerusinya, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman dan Soleen hari ini di Wisma FAM di mana mereka telah membincangkan mengenai hala tuju bola sepak wanita di Malaysia dengan lebih mendalam.

Soleen yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak 2019 itu pernah menyarung jersi pasukan wanita kebangsaan Jordan serta beraksi untuk kelab-kelab bola sepak wanita di Jordan selama 14 tahun.

Menurut Soleen, aura bola sepak semenjak tiba di bumi Kuala Lumpur dua minggu lalu telah memberikan beliau inspirasi untuk memperbaiki arena bola sepak wanita Malaysia.

“Untuk melahirkan pemain bola sepak wanita yang berkualiti tinggi, fokus utama saya adalah untuk mengenalpasti serta memperbaiki liga bola sepak wanita di Malaysia dan memberikan peluang untuk bermain kepada pemain-pemain.

“Selain itu, kami mahu mewujudkan laluan pemain yang komprehensif bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat elit di mana ia akan membabitkan jurulatih, pengadil dan pegawai tadbir yang terdiri daripada kaum wanita,” kata Soleen.