Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan mereka telah mencapai kata sepakat untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih dari luar negara untuk pasukan bola sepak wanita kebangsaan.

Mereka telah melantik jurulatih dari Jordan, Soleen Al-Zou’bi bagi menggantikan tempat Jacob Joseph. Soleen akan menggalas tanggungjawab tersebut bermula pada penghujung tahun ini.

Menurut Naib Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Jawatankuasa Eksekutif kali ini memilih jurulatih tersebut bagi meningkatkan prestasi pasukan bola sepak wanita selepas aksi mengecewakan di Piala AFF.

“Jawatankuasa sudah bersetuju melantik Ketua jurulatih pasukan wanita kebangsaan yang baru, Soleen Al-Zou’bi daripada Jordan bermula pada bulan disember nanti, maksudnya pasukan wanita akan dapat satu barisan jurulatih baru,” kata Yusoff Mahadi.

Sumber Gambar: AFC

Soleen mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak wanita kerana pernah beraksi secara profesional dengan kelab Jordan selama 14 tahun selain mewakili negaranya di pentas antarabangsa.

Berkelulusan Ijazah dalam bidang perubatan dari Universiti of Jordan dan beliau juga memiliki lesen jurulatih dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Antara pencapaian terbaik Soleen ialah membawa skuad Jordan Bawah 17 tahun (B-17) layak ke Piala Dunia Wanita B-17.

Ketika ini, beliau bertugas sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita untuk Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA). Lebih menarik, Soleen juga pernah bekerja dengan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) di bahagian Teknikal Bola Sepak Wanita.

Beliau juga salah seorang daripada ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak tahun 2019. Kemasukannya diharapkan mampu untuk memperbaiki kedudukan ranking pasukan kebangsaan sekaligus mengubah landskap bola sepak wanita di Malaysia.

Berdasarkan rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ke-89 dunia di belakang beberapa negara rantau Asia Tenggara seperti Vietnam (34), Thailand (41), Myanmar (48), Filipina (53), dan Laos (85).

Vietnam dan Filipina sudah pun layak ke Piala Dunia 2023 buat kali pertama dalam sejarah bola sepak mereka.