Tugas sukar sedang menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal menentang pencabar terdekat Liga Super, Sabah malam ini tanpa kelibat dua tonggak utama iaitu Arif Aiman dan Endrick Dos Santos.

Pengendali pasukan, Esteban Solari mengesahkan dua pemain tersebut tidak cukup cergas selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan bersama skuad kebangsaan dan mungkin tidak beraksi dalam perlawanan menentang Sabah.

“Walaupun skuad ini secara amnya berada dalam keadaan yang baik, terdapat beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya dan masih menjalani pemulihan.

“Natxo Insa hampir kembali selepas beberapa bulan tidak beraksi akibat kecederaan belakang manakala Bergson Da Silva masih belum cergas sepenuhnya setelah terlepas tiga perlawanan yang terakhir. Arif Aiman ​​Hanapi dan Endrick Dos Santos juga tidak 100% cergas dan masih menjalani pemulihan dan latihan ringan.

“Kami berharap pemain-pemain ini kembali cergas sepenuhnya untuk perlawanan menentang Sabah dan perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan itu masih kekal di tangga teratas Liga Super dengan 15 mata maksimum tanpa kalah selepas mengharungi 5 perlawanan dan hanya dipisahkan 2 mata dengan pencabar terdekat, Sabah.

JDT juga ada misi besar yang belum diselesaikan. Mereka mahu cipta sejarah mendominasi saingan liga utama selama 1 dekad dengan muncul sebagai juara Liga Super kali ke 10 berturut-turut.

“Perlawanan menentang Sabah pada hari Jumaat ini merupakan satu perlawanan yang sukar memandangkan mereka juga mempamerkan prestasi yang baik selepas lima perlawanan pembukaan liga.

“Kami perlu fokus secara taktikal sepanjang 90 minit. Kami telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini tetapi masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan,” tambah solari.

Berdasarkan persembahan awal musim ini, JDT tampak sukar digugat dan tidak mustahil trofi Liga Super akan terus berada dalam tangan Harimau Selatan untuk tempoh sedekad.

Selain itu, JDT juga masih mengekalkan rekod 14 kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan Liga Domestik sejak 11 Oktober 2022.

Pasukan itu juga meneruskan catatan maraton 39 rekod tanpa kalah dalam Liga Super Malaysia sejak 30 April 2021 dan 40 perlawanan dalam liga domestik sejak 4 Mac 2022.

JDT akan menghadapi 4 perlawanan pada bulan Ramadan melibatkan 3 perlawanan Liga Super Malaysia 2023 dan 1 perlawanan Piala FA.