Susuk Sol Bamba menjadi perhatian ramai ketika dia dimasukkan dalam aksi Piala FA menentang Manchester United di Old Trafford.

Pertukarannya juga untuk menghadapi penalti, di mana Sol Bamba memiliki kemampuan melakukan tugasan tersebut.

Sol Bamba dengan tenang menyudahkan penaltinya menewaskan Dean Henderson. Yang akhirnya membantu Middlesbrough mara ke pusingan kelima Piala FA.

Sol Bamba baru sahaja membantu pasukannya menyingkirkan gergasi Liga Inggeris iaitu Manchester United di gelanggang keramat, Teater Impian Old Trafford.

Skuad yang dibarisi bintang bintang handalan dunia termasuk Bruno Fernandes, Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane.

Chris Wilder benar benar emosional meraikan kejayaan tersebut bersama dengan Sol Bamba. Ini kerana pada Januari tahun lalu, pemain tersebut menderita kanser Limfoma bukan Hodgkin (Non-Hodgkin lymphomas, NHL).

Namun dia melawannya dan mengisytihar dirinya bebas kanser pada Mac 2021 yang lalu. Ketika itu dia beraksi untuk Cardiff City.

Bamba menjalani rawatan kemoterapi berterusan. Dan hasilnya, dia berjaya melakukannya, Sol Bamba kembali semula ke padang pada hari terakhir aksi Liga Kejuaraan menentang Rotherham.

Bamba dalam kenyataannya berkata: “Hai semua, saya ada mesej pendek nak mengumumkan bahawa sekarang ini saya bebas keanser. Dan sudah tentunya, ini berita yang sangat menggembirakan keluarga dan saya. Kami ketika ini sedang di awangan.”

“Saya benar benar mahu mengucapkan terima kasih kepada smeua yang telah menyokong saya, sama ada menerusi komen, mesej, atau apa jua cara, ianya benar benar memberikan saya kekuatan tambahan untuk melalui semua ini.”

“Terutama sekali, saya nak mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya di NHS yang menjaga saya dengan baik, saya akan sentiasa berterima kasih di atas kerja anda semua.”

“Terima kasih kepada semua ahli keluarga, rakan rakan dan sudah tentunya kepada kelab dan semua yang berada dalam industri bola sepak yang membantu saya menghadapi cabaran ini.”

“Saya mendoakan agar anda semua dirahmati dan berharap akan berjumpa anda semua tak lama lagi di atas padang.”

Pada malam di Old Trafford, Sol Bamba melengkapkan magis Piala FA bersama dengan kisahnya.

Dia sempat berseloroh bahawa dia dah terlalu tua untuk berlari berkejar kejaran meraikan kejayaan tersebut.

Ceritanya menjadi motivasi dan inspirasi ramai pada hari ini. Mengajar kita erti jangan berputus asa.