Tiket kedua Piala AFC 2023 yang menjadi rebutan pasukan Liga Super akhirnya milik pasukan Sabah selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Selangor 2-1 di perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 hari ini.

Malaysia Football League (MFL) bulan lepas mengumumkan slot kedua Piala AFC 2023 diberikan kepada juara Piala Malaysia 2022 bagi menjawab kekeliruan yang ditimbulkan oleh peminat bola sepak tempatan.

Memandangkan Juara Liga Super dan Juara Piala FA 2022 adalah kelab yang sama iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), maka slot kedua Piala AFC 2023 diberikan kepada juara Piala Malaysia 2022.

Sumber: MFL

Bagaimanapun, MFL menggunakan pilihan ketiga dalam penentuan slot ke Piala AFC 2023 sekiranya JDT atau pasukan naib juara Liga Super 2022 dinobatkan sebagai Juara TM Piala Malaysia 2022.

Justeru itu, slot kedua Piala AFC 2023 diberikan kepada pasukan tempat ketiga Liga Super 2022 iaitu Sabah.  Satu lagi slot Piala AFC 2023 diberikan kepada Terengganu FC selaku naib juara Liga Super 2022.

Sumber: MFL

Kali terakhir Sabah beraksi di pentas Asia ialah pada tahun 1995 yang ketika itu dikenali sebagai Asian Cup Winners’ Cup anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, Sabah yang dikendalikan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee bakal tampil dengan skuad yang lebih mantap pada musim depan untuk memberi saingan di pentas Asia sekaligus mengharumkan nama negara seperti mana dilakukan oleh pasukan KL City musim ini.

Berdasarkan rekod, JDT satu-satunya wakil dari Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya menjuarai Piala AFC pada tahun 2015.