Badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) hari ini telah menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung penentuan slot Piala AFC (AFC Cup) 2023 memandangkan pemakluman menerusi surat pekeliling sudah dihantar kepada semua pasukan yang bertanding sebelum musim 2022 bermula.

Seperti yang kita semua dimaklumkan, Liga Malaysia telah diberikan slot 1+2 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga tahun 2023. Ia terdiri daripada satu slot automatik ke AFC Champions League (ACL) dan dua slot ke Piala AFC (AFC Cup).

Menurut kenyataan rasmi, pasukan yang akan memperolehi slot kedua ke Piala AFC 2023 hanya boleh ditentukan selepas berakhirnya TM Piala Malaysia 2022.

Ini bermakna juara TM Piala Malaysia 2022 berpeluang beraksi di Piala AFC 2023 memandangkan Juara Liga Super dan Juara Piala FA 2022 adalah kelab yang sama iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sumber: MFL

Namun begitu, MFL bakal menggunakan pilihan ketiga dalam penentuan slot ke Piala AFC 2023 sekiranya JDT atau pasukan naib juara Liga Super 2022 dinobatkan sebagai Juara TM Piala Malaysia 2022.

Justeru itu, slot kedua Piala AFC 2023 akan diberikan kepada pasukan tempat ketiga Liga Super 2022.

Sumber: MFL

Oleh itu, perlawanan terakhir Liga Super malam ini bakal menentukan pasukan mana yang mendapat satu slot automatik ke Piala AFC 2023 sebagai naib juara Liga Super 2022.

Berdasarkan kedudukan terkini liga, Sabah yang berada di tangga kedua hanya dipisahkan dengan 1 mata dengan dua pencabar terdekat, Terengganu di tangga ketiga dan Negeri Sembilan di tangga keempat yang terikat dengan jumlah mata yang sama (41 mata).

Namun begitu, Negeri Sembilan tewas dari segi perbezaan jaringan jika dibandingkan dengan Sabah dan Terengganu. Hanya pasukan yang konsisten mengutip 3 mata dalam baki perlawanan ini sahaja berpeluang cerah dapat tiket beraksi di pentas Asia tahun depan.

Bagaimanapun, tiga pasukan ini berdepan tugas yang sukar kerana lawan yang ditemui oleh mereka tidak begitu mudah untuk ditewaskan.

Sabah bakal bertemu juara Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, manakala Terengganu yang konsisten mengutip 3 mata dalam 8 perlawanan berturut-turut akan menentang Kedah Darul Aman di Alor Star.

Negeri Sembilan pula akan bertemu Sri Pahang yang pasti tidak mahu tewas dalam perlawanan terakhir liga di tempat sendiri.

Pasukan manakah yang akan mendapat tiket ke Piala AFC tahun depan? Ianya  sengit dan menarik untuk disaksikan oleh seluruh peminat bola sepak tempatan.