Gergasi futsal Asia Tenggara, Thailand jelas berada di landasan tepat untuk terus mengungguli Kejuaraan Futsal AFF yang bakal berlangsung pada April ini di Bangkok.

Hal ini kerana skuad kendalian Carlos Cesar Nunez Gago itu baharu sahaja mengungguli Kejohanan Futsal Jemputan NSDF apabila berjaya menundukkan skuad Iran bawah 19 tahun (B-19) pada perlawanan akhir, semalam.

Kemenangan 3-0 yang dilakarkan di Show DC Hall, Bangkok itu memberikan isyarat jelas bahawa Thailand sudah bersedia untuk terus menjadi raja futsal Asia Tenggara apabila negara jiran tersebut sudah menjuarai kempen Kejuaraan Futsal AFF sebanyak 15 kali sepanjang 16 edisi kejohanan berlangsung.

Lebih menarik, kejayaan terbaharu dalam kejohanan jemputan itu hadir dengan sentuhan majoriti pemain muda yang disifatkan sebagai pelapis baharu kegemilangan futsal di Thailand.

Ketua pasukan Thailand, Kritsada Wongkaew meraikan jaringan ketika bertemu Iran. Kredit Foto: Futsal Thailand

Tiada kelibat pemain-pemain yang beraksi dalam saingan Piala Dunia tempoh hari seperti Suphawut Thueanklang, Jirawat Sornwichian, Jetsada Chudech serta ayam tambatan, Muhammad Osmanmusa yang kini berkelana ke Sepanyol.

Keampuhan pasukan Thailand ini sebenarnya menjadi masalah besar juga buat skuad negara kerana kedua-dua negara telah diundi dalam satu kumpulan pada kejohanan yang akan diadakan di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok itu.

Selain Thailand, Malaysia yang dibimbing Chiew Chun Yong turut akan berhadapan dengan Indonesia, Kemboja dan Brunei.

Ketika Thailand kelihatan cukup bersedia, lain pula ceritanya dengan skuad negara yang baharu sahaja mengumpulkan para pemain lebih kurang seminggu dalam kem skuad kebangsaan.

Ia bukanlah satu perkembangan yang baik ketika skuad negara juga ketandusan aksi antarabangsa sejak dua tahun terakhir ini.

Pentas Kejuaraan Futsal AFF kali ini medan penting buat skuad negara kerana ia menawarkan tiga slot ke Kejuaraan Futsal AFC 2022 yang membawa maksud tiga pasukan terbaik bakal ke Kuwait.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Suphawut Thueanklang: Banyakkan Liga & Kejohanan Futsal Domestik Untuk Lahirkan Bakat Berkualiti

4 Perkara Ini Jadikan Thailand Antara Kuasa Besar Futsal Asia

Falcao: Daripada Pemain Bola Sepak Yang Kecewa Kepada Ikon Futsal Terbilang