Tiada keperluan untuk menarik keluar penyertaan skuad Projek FAM-MSN yang sedang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Pandangan itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, Datuk S.Sivasundaram bagi memberikan jawapan kepada desakan bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim agar menarik keluar penyertaan skuad muda itu dari saingan Liga Perdana.

“Itu hanyalah pandangan seorang individu. Saya berpendapat Skuad Projek FAM-MSN ini perlu diteruskan kerana lebih baik mereka beraksi di peringkat yang lebih tinggi. Kita tidak harus melihat kepada keputusan perlawanan semata-mata,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, Teong Kim menggesa agar FAM menarik keluar penyertaan skuad Projek FAM-MSN bagi mengelakkan keyakinan pemain merudum ekoran masih belum meraih sebarang kemenangan setakat ini.

Menurut Teong Kim, kekalahan yang dialami mungkin akan menjejaskan mentaliti pemain sekaligus memberi kesan terhadap perkembangan pemain skuad tersebut.

Pasukan yang dikendalikan oleh Yusri Che Lah itu gagal meraih sebarang mata dan menduduki tangga tercorot dalam carta Liga Perdana.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Natxo Insa Digantung Satu Perlawanan Dahulu Dan Baki Satu Lagi Perlawanan Tertakluk Kepada Kelakuan Baiknya

Penjaga Gol Utama Terengganu, Rahadiazli Disahkan Mengalami Kecederaan ACL

Mahu Lebih Masa Buat Persiapan, Skuad Kebangsaan Harap ‘Ihsan’ MFL