Jaringan sepakan penalti daripada Safawi Rasid sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 buat skuad negara ke atas Thailand pada aksi terakhir kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, sebentar tadi.

Kemenangan itu dilihat hadir tepat pada masanya ketika skuad negara dikritik hebat susulan kekalahan pada dua perlawanan terdahulu bertemu UAE dan Vietnam yang sekali gus memusnahkan impian untuk melihat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu meneruskan misi ke Piala Dunia.

Aksi baik ditampilkan oleh Aidil Zafuan Abd Radzak dan rakan sepasukan dimana Harimau Malaya lebih banyak menjelmakan serangan tepat ke gawang Thailand terutamanya pada babak pertama.

Penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom menjadi penghalang terbesar buat skuad negara untuk memenangi perlawanan dengan jurang yang lebih besar berikutan ketangkasannya dalam menafikan percubaan jentera serangan.

Bermula dengan tandukan Guilherme De Paula pada minit ke-22 dalam kawasan penalti setelah beliau menerima umpanan menerusi sepakan percuma daripada Nor Azam Azih tetapi Chatchai lebih bersedia untuk menyelamatkan keadaan.

Berselang lima minit kemudian berpunca daripada situasi yang hampir sama, tandukan daripada Aidil pula dinafikan penjaga gol berusia 34 tahun itu.

Kem Thailand hampir melonjak kegembiraan pada minit ke-35 tetapi jaringan Suphanat Mueanta terpaksa dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Thailand terus menguji gawang negara yang dikawal Khairulazhan Khalid pada minit ke-40 tetapi percubaan kaki kiri daripada pemain Leicester City, Thanawat Suengchitthawon sedikit tersasar di sebelah kiri.

Dua minit kemudian, Chatchai sekali lagi cemerlang apabila beliau menepis keluar rembatan padu dari jarak jauh diledakkan Azam Azih.

Jaringan yang dinantikan skuad negara menjelma jua pada minit ke-52 setelah pemain gantian, Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti walaupun pada mulanya terkena badan Chatchai tetapi masih bergolek masuk ke gawangnya.

Sepakan penalti itu dihadiahkan kepada Malaysia selepas pemain pertahanan, Ernesto Phumipha melakukan kekasaran terhadap Safawi yang menerima ‘backheel’ cantik dilakukan Syafiq Ahmad.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Akira Nishino tampil dengan lebih garang untuk berusaha kerasa mendapatkan jaringan penyamaan.

Bagaimanapun, barisan pertahanan skuad negara dan Khairulazham jelas kental bertahan bagi menghalang daripada gawang skuad negara dibolosi.

Kemenangan berharga itu sekali gus meletakkan Malaysia di tangga ketiga untuk mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan empat kekalahan.