Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan harapan tinggi untuk skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) meraih “ibu segala pingat emas” dalam temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina apabila menyenaraikan pasukan itu dalam kategori A.

Perkembangan itu disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal, yang menjelaskan keputusan tersebut diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM bersama wakil FAM di Wisma MOM semalam.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berjaya menyakinkan MOM berdasarkan prestasi mereka muncul sebagai naib juara Sukan SEA 2017, layak ke suku akhir kejohanan AFC B-23 dan menewaskan beberapa pasukan gergasi Asia.

“Keputusan ini menunjukkan mereka (MOM) meletakkan harapan yang besar kepada skuad lelaki kita, dan Insya-Allah, kita akan terjemahkan pada Sukan SEA kali ini.

“Saya selaku pengurus pasukan hendak pastikan, pasukan kita sekurang-kurangnya layak ke final (Sukan SEA 2019),” katanya dalam Sukan Sinar. 

Sukan SEA 2019

Bagaimanapun,  nasib skuad bola sepak wanita sama ada diletakkan dalam kategori A atau B, bergantung kepada keputusan diraih pada Kejuaraan Bola Sepak Wanita Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Chonburi, Thailand dari 15-27 Ogos ini.

“Insya-Allah, pada saingan AFF nanti, pasukan (wanita) kita akan buat kejutan dan mereka akan bermain dengan baik.

“Pengurus pasukan (Datuk Suraya Yaacob) memang berazam hendak buat satu peningkatan untuk skuad wanita kita,” jelas Subahan.

Apakah itu kategori A?

Lazimnya, mana-mana atlet atau pasukan yang telah mendapat kategori A oleh MOM bermakna mereka akan mendapat tajaan penuh untuk bertanding dalam temasya Sukan SEA, Sukan Asia atau Sukan Olimpik.

Manakala bagi kategori B, perbelanjaan penginapan dan pengangkutan ditanggung persatuan masing-masing. Bagaimanapun, perbelanjaan itu akan dibayar semula, sekiranya atlet berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Bagi Subahan Kamal, penyenaraian skuad bola sepak dalam kategori A dapat membantu meringankan beban kewangan FAM. Kali terakhir skuad negara meraih pingat emas dalam Sukan SEA ialah pada tahun 2011 ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

su_03.1

Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun raih ibu segala pingat pada Sukan SEA 2009

Acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 bakal diadakan di Stadium Memorial Rizal, Manila, dari 26 November hingga 10 Disember, manakala bola sepak wanita dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Binan, Laguna, dari 26 November hingga 9 Disember.

Sebanyak 11 pasukan daripada kalangan negara ASEAN akan mengambil bahagian dalam temasya kali ini dan mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan. 11 pasukan terbabit telah dibahagikan kepada 4 balang mengikut prestasi yang diraih oleh mereka semasa Sukan SEA 2017.

Tuan rumah, Filipina dan pemenang pingat emas, Thailand diletakkan dalam Balang 1 manakala Malaysia diletakkan dalam balang 2 disamping pemenang pingat gangsa sekaligus seteru utama iaitu pasukan Indonesia.

Pasukan yang menduduki tempat keempat, Myanmar dan Vietnam berada dalam Balang 3 dan baki lima pasukan lagi iaitu Singapura, Laos, Brunei Darussalam, Timor Leste dan Kemboja diletakkan dalam Balang 4.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group