Pengurus skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19), Datuk Kamarul Ariffin Shahar mengakui pihaknya ada menerima tawaran daripada Turki dan Perancis untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan menyertai kejohanan jemputan Paris Cup.

Ia merupakan sebahagian daripada persiapan menghadapi kejohanan AFC B-19 yang bakal berlangsung di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober ini.

Bagaimanapun, Kamarul menjelaskan pihaknya masih menilai dua tawaran itu dan perlu mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Nasional (MKN) sebelum membuat keputusan.

“Kami sedang menilai kedua-dua tawaran itu dan juga menunggu maklum balas daripada Majlis Keselamatan Nasional dan Kementerian Kesihatan mengenai sekatan perjalanan,” jelas Kamarul dalam New Straits Times.

87367160_2717986164964797_6338153654696017920_o
FOTO: FAM

Skuad negara yang diundi dalam kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk sebelum menghadapi perlawanan sebenar.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan mengumumkan senarai 35 orang pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat pada minggu depan dibawah kendalian Brad Maloney.

Justeru itu, kamarul berharap setiap kelab dapat memberi perlepasan kepada pemain muda mereka untuk menghadapi tugasan antarabangsa bersama negara.

“Jika ada masalah, kami akan berbincang lebih lanjut untuk situasi menang-menang. Setiap pemain mengimpikan untuk mewakili negara. Jika pemain itu hanya bermain untuk pasukan simpanan, lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat.

“Ia lebih bermakna kerana kejohanan AFC B-19 ini menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20 pada tahun depan,” kata Kamarul.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah muncul sebagai naib juara Kejohanan AFC B-19 sebanyak 3 kali pada tahun 1959, 1960 dan 1968.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Pemain Kacukan Thailand Berusia 18 Tahun Debut Untuk AIK Fotboll, Kelab Tangga Ke-3 Liga Divisyen Utama Sweden.

Kelab Ceres Negros ‘Bungkus’ Selepas Pemiliknya Muflis, Gagal Bayar Gaji Pemain 2 Bulan

Warrix Jalin Kerjasama Dengan Piala AFF Suzuki 2020, Jadi Pembekal Rasmi Bola Dan Jersi