Seramai 24 pemain skuad Malaysia B-18 pulang ke tanah air hari ini selepas dibawa menjalani latihan pusat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak minggu lepas sebagai persiapan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 pada 2 hingga 10 November 2019 di Phnom Penh, Kemboja.

Bagaimanapun, kem latihan pusat tersebut tidak disertai oleh tiga tonggak utama iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Sikh Izhan Nazrel dan Ahmad Zikri kerana terlibat dalam ujian pemilihan dengan pendahulu liga divisyen 1 Jepun (J.League), FC Tokyo selama seminggu.

EHF8lqrX4AAV6Cz
FOTO: UAE

Sepanjang berada di Dubai, skuad kendalian Brad Maloney itu telah mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan UAE B-19 bagi menguji kemampuan pemain berdepan lawan yang lebih kuat dari segi fizikal dan mengamalkan corak permainan pantas.

Perlawanan pertama yang berlangsung pada hari Selasa lepas menyaksikan Malaysia melakar kejutan dengan menewaskan UAE, 1-0 hasil jaringan daripada pemain PKNP FC, Muhd Aidil Azuan pada minit ke 78.

EG7g-vhUcAASzX2
Barisan kesebelasan utama skuad Malaysia B-18 ketika menewaskan UAE B-18. FOTO: FAM

Pada perlawanan kedua, Maloney dilihat telah menguji barisan pemain yang berbeza dengan mengandingkan pemain lama dengan pemain baharu. Keputusan perlawanan itu memihak kepada UAE, 3-1 dan ia merupakan pengalaman yang berguna bagi pemain berdepan dengan lawan yang berkualiti.

Gol Malaysia dijaringkan oleh pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari iaitu Muhammad Alif Abdul Mutalib manakala tiga gol UAE dijaringkan oleh pemain Al Jazira dan Al Ain, Zayed Sultan Ahmed, Issa Kalfan dan Saif Obaid.

Pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 ini, Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan tuan rumah, Kemboja, Thailand, Brunei dan Northern Mariana Islands.

Mereka dijadualkan menentang Kemboja pada 2 November, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November), sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 10 November.

Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir pada tahun depan.

Imbas kembali prestasi skuad Bawah 18 tahun Malaysia ketika dalam Kejohanan AFF B-18 pada bulan lepas. 

AFF B-18: Malaysia Mudah Tewaskan Kemboja Untuk Raih Kemenangan Kedua

Dua Jaringan Luqman Hakim Bantu Malaysia Tewaskan Australia

Jaringan Harith Haiqal Bawa Malaysia Mara Ke Final AFF B-18