Skuad Malaysia bawah 17 tahun (B-17) kini berada di Qatar untuk menjalani latihan di sebuah akademi bola sepak bertaraf dunia iaitu Akademi Aspire selama dua minggu.

Kem latihan fasa dua itu adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023.

Seramai 25 pemain yang telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-17 kebangsaan, Osmera Omaro dan mereka dijadual mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sepanjang kem di sana sebelum pulang ke tanah air pada 21 April 2023.

Bagi saingan pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 itu nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A yang mana mereka dijadual memulakan kempen bertemu Yemen di Stadium Thammasat pada Khamis, 15 Jun 2023 diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani pada Ahad, 18 Jun 2023 dan aksi terakhir kumpulan menentang Laos di Stadium Thammasat pada Rabu, 21 Jun 2023.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dalam ucapannya, mengingatkan barisan pemain untuk manfaatkan peluang menjalani latihan dan beraksi di luar negara dengan sebaik mungkin.

“Pengalaman beraksi untuk negara ini tidak harus disia-siakan kerana peluang ini hadir kepada pemain-pemain terpilih dan istimewa sahaja.

“Saya percaya, tidak kira skuad bola sepak B-17 kebangsaan mahupun skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu untuk mencipta kejutan pada saingan Piala Asia B-17 dan Sukan SEA 2023 nanti.

“Berikan komitmen serta dedikasi anda disulam dengan doa kepada negara, saya percaya kejayaan pasti akan menjadi milik kita,” kata Datuk Haji Hamidin.

Piala Asia B-17 turut menawarkan 4 slot ke Piala Dunia B-17 untuk pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Hamidin turut letak harapan tinggi untuk melihat skuad negara layak ke Piala Dunia B-17 secara merit kerana berpendapat pasukan ini mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.

“Ini impian saya dan kita semua. Macam saya katakan, ia tidak mustahil. Kita lihat pasukan ini ada potensi dan mereka giat berlatih di Gambang, Pahang.

“Sebahagian besar pemain dikekalkan dan akan ada tambahan pemain bagi memperkuatkan pasukan ini.

“Saya mahu mereka cuba layak kerana ini adalah skuad masa depan dan aset pasukan kita,” katanya.