Skuad bawah 15 tahun negara (B-15) berpeluang menamatkan penantian selama 6 tahun sebagai juara apabila bakal bertemu Thailand di perlawanan akhir Kejohanan AFF B-15 di Chonburi, pukul 7 malam ini waktu Malaysia.

Selepas mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dan membenam Vietnam, 3-1 di peringkat separuh akhir, anak buah P. Maniam itu enggan melepaskan peluang untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua.

Kali pertama Malaysia muncul sebagai juara adalah pada tahun 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi penentuan penalti susulan terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

Baca: AFF B-15: Malaysia Gah Benam Vietnam Untuk Mara Ke Perlawanan Akhir

Bagaimanapun, Maniam enggan memberi tekanan kepada anak buahnya dan mahu mereka menikmati perlawanan akhir tersebut dengan corak permainan yang diterapkan.

“Kita tidak boleh meletakkan tekanan kepada pemain kerana ini lebih kepada pembangunan.

“Apa yang perlu dilakukan adalah untuk sentiasa memberikan mereka motivasi dan semangat untuk sentiasa mempamerkan prestasi yang terbaik sama ada secara individu mahupun secara berkumpulan,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan di laman facebook Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

68522388_2588426831222007_4021218402814132224_o
FOTO: FA Thailand

Pada masa yang sama, Maniam juga menyifatkan kejayaan skuad negara mara ke perlawanan akhir adalah hasil daripada komitmen tinggi barisan kejurulatihannya yang sentiasa memfokuskan terhadap tahap kecergasan pemain.

“Pujian seharusnya diberikan kepada barisan kejurulatihan pasukan ini. Setiap pagi mereka akan berjumpa pemain untuk melakukan ujian urine bagi menilai kadar dehidrasi pemain. Mereka juga sentiasa bertanya kepada pemain berkaitan mood mereka pada awal pagi bagi menjamin setiap pemain dalam prestasi terbaik.

“Kemenangan yang diraih sehingga hari ini juga adalah kejayaan untuk semua pihak yang sentiasa bersama memberi sokongan. Tanpa semangat kerjasama ini, mustahil untuk kejayaan ini dapat dicapai,” tambah beliau.

67747592_2313454082084676_5925253267138281472_o
FOTO: FAM

Pada perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia terikat 1-1 dengan Thailand hasil jaringan sendiri daripada pemain lawan di minit akhir. Bagaimanapun itu bukan ukuran sebenar kekuatan kedua-dua pasukan kerana dibarisi oleh sebahagian daripada pemain simpanan.

Perlawanan akhir malam ini dijangka lebih sengit dengan kedua-dua pasukan bakal membariskan pemain terbaik mereka untuk memburu gelaran juara.