Tiada yang mustahil untuk skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) negara memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 sekali gus mengulangi kejayaan meraih ‘ibu segala pingat’ di Jakarta-Palembang 2011.

Keyakinan itu diluahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin yang optimis skuad kendalian E. Elavarasan mampu membawa pulang pingat emas kali ini.

“Kalau dilihat pada Sukan SEA tahun lalu di Hanoi, kita kalah pada perlawanan di waktu kecederaan dengan pasukan tuan rumah, jadi seperti saya katakan kepada pemain bahawa mereka turut mempunyai peluang.

“Kalau pemain kita (di tahap) tinggi atau bersedia daripada semua aspek, kecergasan, fikiran mereka dan komitmen, saya rasa kita boleh menyamai kejayaan 2011 di mana kita menang emas di Jakarta. Jadi tak mustahil dan mereka perlu fokus dan bersedia untuk berkorban.

“Ini kerana kalau kita nak jadi juara, kita terpaksa berkorban. Berkorban ini maksudnya daripada sudut latihan, komitmen, nawaitu yang tinggi sebelum ke Kemboja,” kata Hamidin dipetik dalam Berita Harian.

Hampir separuh pemain daripada skuad ini beraksi dalam saingan Liga Super dan pengalaman itu menjadi taruhan Elavarasan untuk bersaing dengan dua pasukan kuat seperti Thailand dan Vietnam.

“Saya rasa kumpulan kali ini walaupun bersama pasukan bekas juara, saya rasa peluang untuk menang tetap terbuka sebab kali ini pertandingan (melibatkan pemain) sama umur. Saya rasa dalam pasukan yang penting adalah pemain.

“Dilihat daripada tiga hari latihan, saya rasa dari segi pasukan sudah bagus dan mereka ada pengalaman dalam Liga Super, jadi ia akan memberi semangat yang lain,” kata Elavarasan.

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 esok, diikuti dengan perlawanan menentang Thailand B-22 (6 Mei), Vietnam B-22 (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 (11 Mei).

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei, sebelum aksi final atau penentuan tempat ketiga dan keempat pada 16 Mei.