Setelah menjadi mangsa belasahan kepada pasukan Bulgaria dan Croatia minggu lalu, skuad Indonesia bawah 19 tahun (B-19) mempamerkan peningkatan apabila mencatat keputusan seri ke atas pasukan gergasi Asia, Arab Saudi 3-3 dalam kejohanan jemputan antarabangsa anjuran Federasi Bola Sepak Croatia (HSN) semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad Garuda Muda terlebih dahulu ketinggalan 1-3 di separuh masa pertama. Tiga gol Arab Saudi dijaringkan oleh Khalil Ibrahim Alabsi (27’/penalti), Mohammed Khalil Marran (32’/penalti), Essa Khaleel Althekralla (37′).

Kemudian, mereka bangkit menjaringkan gol pertama melalui Irfan Jauhari pada minit ke 45. Jaringan itu memberikan semangat tambahan kepada anak buah Shin Tae-yong untuk terus mengandakan asakan di separuh masa kedua.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil, apabila Saddam Gaffar menambah gol kedua pada minit ke-52. Di masa kecederaan, kem Indonesia bergegar apabila Braif Fatari menjaringkan gol penyamaan  sekaligus menjadikan kedudukan bertukar kepada 3-3.

Selepas ini, Indonesia yang dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan AFC B-19 dan Piala Dunia B-20 pada tahun depan akan menentang Qatar, Bosnia, dan Dinamo Zagreb dalam perlawanan persahabatan.

Pengendali skuad itu, Shin Tae-yong mengakui masih terdapat kelemahan di posisi pertahanan dimana mereka kerap melepaskan gol mudah kepada lawan. Setakat ini, Indonesia telah bolos 13 gol selepas mengharungi 3 perlawanan.

“Pada 3 perlawanan persahabatan, jelas menunjukkan benteng pertahanan menjadi kerja rumah kami untuk segera diperbaiki dengan lebih baik. Tahap stamina pemain juga perlu ditingkatkan,” kata Shin Tae-yong dipetik dalam laman web rasmi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Mohammed Ghaddar Kembali Ke Lebanon, Pulang Ke Pangkuan Nejmeh SC Selepas 11 Tahun Berkelana

‘AFC Champions League’s Best Goal of the Decade’ Menjadi Milik Safawi Rasid, Tumpaskan 10 Calon Ternama Lain

Perlawanan Thai League 1 Disiarkan Secara Langsung Melalui Platform Facebook Dan Youtube Di 15 Negara