Skuad Harimau Malaya bakal diberikan keutamaan dalam pemberian suntikan vaksin COVID-19 kerana mereka akan ke luar negara untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun 2021.

Pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan untuk mendapatkan dua dos suntikan vaksin itu lebih awal untuk para pemain dan pegawai pasukan supaya tidak menghadapi sebarang masalah sebelum tarikh perlawanan sebenar.

“Masih dalam perbincangan tetapi kita sudah memohon supaya dapat divaksin lebih awal dan bukannya baru divaksin seminggu sebelum kita berlepas.

“Kalau boleh, kami harapkan kedua-dua dos itu dapat dihabiskan sebelum awal bulan depan kerana kita tidak mahu ada implikasi dengan masa yang tidak cukup apabila kita ke sana nanti.

“Mungkin selewatnya hujung bulan ini tetapi tarikhnya belum lagi kita dapat. Kita pun sedang usaha untuk melakukan perbincangan supaya dapat vaksinkan skuad kebangsaan,” katanya dipetik dalam Berita Harian. 

harimau malaya
SUMBER: FAM

Skuad Harimau Malaya akan kembali berkumpul menjalani latihan pusat pada 16 Mei sebelum berangkat ke Bahrain untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan di sana.

Kemudian, mereka akan ke UAE untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022 bermula pada 31 Mei sehingga 15 Jun 2021. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dijangka akan diperkuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi dan kacukan seperti Junior Eldstal, Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh.

Tan Cheng Hoe turut menyambut baik pemberian suntikan vaksin itu dan berharap ia selamat serta tiada kesan sampingan negatif untuk para pemainnya.

“Saya rasa vaksin akan membantu pasukan, kami berada diperingkat kelayakan Piala Dunia dan itu memerlukan kami melakukan perjalanan ke luar negara. Bagus jika semua orang dapat.

“Saya tahu ada pandangan yang berbeza mengenai siapa yang patut mendapatkannya terlebih dahulu atau ada kebimbangan mengenai keselamatan vaksin itu.

“Bagi saya, sebagai jurulatih, apa pun yang disyorkan untuk pasukan, saya akan mempertimbangkannya. Anda tidak tahu ketika dalam perjalanan, anda mungkin boleh dijangkiti.

“Tetapi dengan vaksin, kita dapat merasai perjalanan dengan selamat,” katanya

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Kem Latihan Pusat Harimau Malaya Pada Bulan Januari Dibatalkan

Hasrat Kobe Chong Beraksi Bersama Harimau Malaya Tertangguh

Ciri-Ciri Menarik Jersi Terbaru Skuad Harimau Malaya

https://www.vocketfc.com/kontrak-tan-cheng-hoe-dilanjutkan-2-tahun-lagi-terus-pegang-harimau-malaya-sehingga-hujung-202