Pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada skuad Harimau Malaya sangat penting kerana mereka bakal ke luar negara untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 di UAE pada bulan Jun 2021.

Bagaimanapun, Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican dalam satu kenyataan di Bernama semalam menjelaskan tiada sebarang jaminan dapat diberikan untuk pasukan negara menerima dua dos suntikan vaksin kerana bekalan yang terhad.

Terdapat tiga kumpulan atlet disenaraikan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang terdiri daripada lebih 4000 atlet dan pegawai termasuk lebih 1000 pemain bola sepak Liga Malaysia.

Skuad Harimau Malaya berada dalam kumpulan kedua bersama atlet yang bakal menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.

“Saya sedang usahakan untuk vaksin bagi kumpulan kedua, tetapi bergantung kepada bekalan. Saya tak dapat nak mengatasi apa yang diuruskan oleh pihak jawatankuasa program imunisasi kebangsaan dan saudara Khairy (Jamaluddin), jadi kumpulan ini akan menerima apabila adanya bekalan.

“Kumpulan kedua ini agak besar, mereka terpaksa merentas negeri dan berada dalam sports bubble. Jadi, seandainya mereka dapat vaksin, sudah tentunya tugas mereka menjadi lebih mudah,” katanya.

172690451_3755684624500883_3869924696094774466_n
Kumpulan Pertama Atlet Negara sudah divaksikan. FOTO: FB Reezal Merican

Harimau Malaya akan kembali berkumpul menjalani latihan pusat pada 16 Mei sebelum berangkat ke Bahrain untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan di sana.

Kemudian, mereka akan ke UAE untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022 bermula pada 31 Mei sehingga 15 Jun 2021. Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu dijangka akan diperkuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi dan kacukan seperti Junior Eldstal, Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh.

Pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi beberapa hari lepas mengesahkan pihaknya ada berbincang dengan kerajaan untuk mendapatkan dua dos suntikan vaksin itu lebih awal untuk para pemain dan pegawai pasukan supaya tidak menghadapi sebarang masalah sebelum tarikh perlawanan sebenar.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Hasrat Kobe Chong Beraksi Bersama Harimau Malaya Tertangguh

Ciri-Ciri Menarik Jersi Terbaru Skuad Harimau Malaya

https://www.vocketfc.com/kontrak-tan-cheng-hoe-dilanjutkan-2-tahun-lagi-terus-pegang-harimau-malaya-sehingga-hujung-202