Setelah lebih setahun tidak berkumpul bersama, skuad Harimau Malaya akhirnya dapat mengadakan kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Jun nanti.

Menurut laporan daripada New Straits Times, mereka akan berlatih di Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 Mac hingga 30 Mac.

“Kami sedang memuktamadkan beberapa perincian, dan ia di peringkat akhir,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menyifatkan JDT mempunyai fasiliti latihan yang lengkap dan akan memberi motivasi kepada pemain untuk menampilkan aksi terbaik.

“Ini kerana JDT mempunyai fasiliti latihan yang terbaik di Asia Tenggara,” kata Cheng Hoe.

JDT
JDT mempunyai fasiliti latihan yang berkelas dunia.

Antara muka baharu yang bakal menyertai kem latihan pusat itu ialah Luqman Hakim Shamsudin yang mendapat pelepasan daripada kelab Belgium, KV Kortrijk. Luqman kini sedang menjalani proses kuarantin selama 7 hari sebelum menyertai pasukan.

“Luqman telah mempersiapkan diri ketika bersama kelab Belgium dan ia memberi motivasi  kepadanya untuk menyertai skuad senior buat kali pertama. Saya percaya dia akan menikmati tugasnya bersama pasukan senior.

“Dia memiliki masa depan yang cerah sebagai seorang penyerang,” tambah Cheng Hoe.

Manakala 4 pemain tidak akan menyertai kem latihan pusat kali ini iaitu Safawi Rasid dan Halim Saari serta dua pemain yang berpengkalan di luar negara, Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Liridon Krasniqi (Newcastle Jets).

144429341_4331078226918573_4477260925854173746_o
Junior Eldstal turut berada dalam perancangan Tan Cheng Hoe.

Safawi dan Halim mengalami kecederaan ketika beraksi dalam saingan Liga Super manakala Junior dan Liridon berdepan kesukaran menyertai pasukan disebabkan oleh peraturan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia untuk mereka yang pulang dari luar negara.

“Dalam bola sepak, kami tidak boleh membuang masa untuk perkara ini (proses kuarantin selama 21 hari) tetapi bulan jun nanti tiada masalah. Ya, mereka memang berada dalam perancangan kami (kelayakan Piala Dunia).

“Junior teringin nak bermain untuk negara dan paling penting dia telah beraksi dalam 7 perlawanan dan berada dalam kesebelasan utama skuad Chonburi. Ini sesuatu yang positif yang mana bermaksud dia masih mempunyai sesuatu,” jelas Cheng Hoe.

FAM dijangka akan mengumumkan senarai penuh pemain yang telah dipanggil menyertai kem latihan pusat pada hari esok.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Guilherme De Paula Sedia Sarung Jersi Harimau Malaya Jika Dipanggil

Skuad Harimau Malaya Tunda Kem Latihan Pusat

Pemain Harimau Malaya Bakal Diberikan Suntikan Vaksin COVID-19 Sebelum Ke Luar Negara

Endrick Dos Santos Sedia Sarung Jersi Harimau Malaya