Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mendapat sentuhan pemain dari Thailand apabila baharu sahaja mengumumkan kedatangan Tanatul Tadavirot secara pinjaman selama enam bulan.

Kehadiran pemain skuad kebangsaan Thailand itu bagi menggantikan tonggak import sebelum ini dari Iran, Abdul Rahman Sarani yang dikhabarkan mengalami kecederaan.

Tanatul atau lebih mesra dengan panggilan Nino dalam kalangan rakan sepasukannya di Thailand merupakan bekas pemain kelab gergasi, Bluewave Chonburi.

Malah, Tanatul turut mempunyai reputasi hebat apabila mewakili kelab Liga Futsal Sepanyol, Club Deportivo Xota selama semusim pada 2021/22 dimana beliau menjaringkan satu gol di sana.

Kepantasan, kelincahan dan kekuatan dimiliki walaupun bertubuh agak kecil bakal menjadi aset berguna buat Tanatul Tadavirot dalam usaha pemain berusia 23 tahun itu untuk membantu skuad JDT yang dibarisi ramai pemain berpengalaman tanah air.

Selain itu, beliau turut fasih berbahasa Sepanyol serta bahasa Inggeris yang akan melancarkan urusannya untuk berkomunikasi dengan ketua jurulatih, Juan Antonio Miguel Garcia dan rakan sepasukannya.

Dengan jendela perpindahan kedua saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 sudah dibuka pada 1 Mei lalu, khidmat Tanatul pasti akan ditagih JDT untuk terus memberikan tekanan buat juara bertahan, Selangor MAC.

Selepas mengharungi enam perlawanan yang menyaksikan tamat pusingan pertama liga, JDT mencatatkan lima kemenangan dan satu kekalahan untuk mengumpul 15 mata bagi berada di tangga teratas kumpulan B.