Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mendapat sentuhan jurulatih daripada Sepanyol apabila merekrut bekas pengendali Real Betis, Juan Antonio Miguel Garcia.

Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut disahkan oleh sumber Arena Futsal Malaysia dan beliau dijangkakan akan tiba di Malaysia dalam tempoh beberapa hari lagi.

Difahamkan, jurulatih berusia 55 tahun itu akan membawa seorang pembantunya bagi mengisi kekosongan dalam barisan kejurulatihan beliau.

Selain membimbing kelab dalam saingan Liga Futsal Sepanyol, Juan Antonio yang lebih mesra dengan panggilan Juanito turut pernah bergelar ketua jurulatih Thai Son Bac (Vietnam) dan Sporting Clube de Paris (Perancis).

Dengan kehadiran Juanito, sudah pastinya beliau akan memilih seorang pemain import daripada Sepanyol untuk menjadi antara nadi kekuatan buat pasukan tersebut pada musim ini.

JDT yang akan membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Premier Futsal Malaysia (MFPL) kini sedang giat dalam memantapkan pasukan dengan kehadiran sebahagian besar pemain kebangsaan.

Meskipun masih tiada sebarang pengumuman rasmi dilakukan JDT tetapi beberapa pemain kebangsaan dalam skuad juara bertahan, Selangor MAC sudah pun mengucapkan selamat tinggal.

Keadaan itu sudah cukup untuk memberikan gambaran jelas bahawa kelab daripada selatan tanah air itu akan mendapatkan khidmat mereka.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah Azrul Hadee Mohd Taufik (penjaga gol), Azri Rahman, Muhd Ekmal Sharin, Azwann Ismail serta pemain berkualiti tinggi seperti Firdaus Ambiah dan Danial Dain.