Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka akan mendapat sentuhan pemain import berkelas dunia bagi menghadapi kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang dijadualkan bermula 11 Februari nanti.

Ia berikutan kelibat pemain yang pernah beraksi bersama beberapa kelab gergasi dunia iaitu Caio Cesar Garcia Rego dapat disaksikan ketika aksi persahabatan bertemu Pulau Pinang, tempoh hari.

Malah, pemain kelahiran Brazil yang sudah hampir seminggu menjalani sesi latihan bersama pasukan turut menyumbangkan satu gol ketika membantu skuad futsal JDT menundukkan lawan tersebut 3-1 di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang.

Meskipun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi oleh JDT mengenai kehadiran Caio tetapi beliau dilihat akan menjadi pilihan ketua jurulatih, Juan Antonio Miguel Garcia berdasarkan pengalaman luas serta karier hebat dinikmatinya.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Ia jelas dapat dibuktikan kerana Caio hadir dengan reputasi hebat apabila pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Gazprom-Ugra (Rusia) dimana pasukan terakhir diwakilinya ialah AFC Kairat yang merupakan kelab gergasi futsal dari Kazakhstan.

Selain itu, beliau yang kini berusia 33 tahun turut pernah menyarung jersi kelab ternama Liga Futsal Brazil seperti Jaragua Futsal dan Pato Futsal serta dua musim bersama pasukan dalam saingan Liga Futsal Sepanyol, Cordoba Futsal.

Pada tahun 2016, beliau membantu Brazil menjuarai Sukan Universiti Dunia selepas berjaya menundukkan Rusia di perlawanan akhir.

Selain itu dalam perkembangan lain mengenai skuad futsal JDT, kelab tersebut akan membawa masuk seorang lagi pemain import bagi mengisi kuota Asia dan berkemungkinan besar tonggak dari Iran.

Seperti dilaporkan sebelum ini, JDT diperkuatkan dengan kehadiran enam pemain skuad kebangsaan iaitu Azrul Hadee Mohd Taufiq (penjaga gol), Mohd Azwann Ismail, Muhammad Ekmal Shahrin, Muhammad Azri Rahman, Abu Haniffa Hasan dan Mohd Awalludin Mat Nawi.