Skuad futsal Vietnam bakal menikmati lima perlawanan persahabatan berkualiti tinggi apabila dijadualkan bertemu dua pasukan gergasi Amerika Selatan iaitu Argentina dan Paraguay.

Argentina merupakan juara Piala Dunia Futsal 2016 dan muncul naib juara pada edisi berikutnya di Lithuania manakala Paraguay pula seringkali cemerlang dalam saingan Copa America.

Perkembangan terkini mengenai sesi latihan yang akan diadakan Argentina itu disahkan oleh media tempatan, Thanh Nien.

Mengikut perancangan, pasukan futsal Vietnam yang dibimbing oleh pengendali kelahiran Argentina, Diego Raul Giustozzi akan terbang ke Buenos Aires pada 31 Mei.

Barisan pemain Argentina. Kredit Foto: AFA – Seleccion Argentina

Selepas berhadapan dengan pasukan ranking kelima dunia itu, Vietnam akan ke Asuncion pula untuk meneruskan sesi latihan dan kemudiannya mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan Paraguay (ranking kesembilan dunia).

Penutup sesi latihan di Amerika Selatan itu diakhiri dengan perlawanan terakhir dengan sekali lagi bertemu Argentina sebaik sahaja sesi di Paraguay tamat.

Ia memberikan gambaran jelas bahawa Vietnam bakal mendapat lima perlawanan ujian yang benar-benar menguji kemampuan barisan pemain mereka.

Ia turut memberikan indikasi Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) semenangnya begitu serius dalam mengintai peluang untuk layak ke Piala Asia Futsal 2024 meskipun pusingan kelayakan hanya akan berlangsung selepas bulan Oktober.

Vietnam pernah menghadapi Argentina sebanyak dua kali pada September 2016 sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia di Colombia yang menyaksikan mereka tumpas 1-3 dan 2-5.

 

 

 

Sumber