Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, semalam, menerima kunjungan hormat daripada Juventus FC yang sedang meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bertujuan memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia.

Delegasi Juventus FC diwakili oleh, Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung.

Datuk Haji Hamidin berkata, menerusi perbincangan awal ini pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 tahun kebangsaan akan diberi peluang untuk menjalani latihan di akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.

“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia. Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

“Juventus FC juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Datuk Haji Hamidin selepas menerima kunjungan hormat itu.

FOTO: FAM

Tambah Datuk Haji Hamidin, menerusi perbincangan awal ini juga pihak Juventus FC juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil

10 Hari Dalam Kem Latihan Pertama, Kim Pan Gon Akui Gembira Dengan Prestasi Pemain

Dion Cools: Ini Persembahan Terburuk Saya Bersama Skuad Kebangsaan

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya