Rombakan bakal dilakukan ke atas skuad B-23 tahun negara bagi memastikan prestasi pasukan dapat dipertingkatkan setelah gagal meraih pingat di temasya Sukan SEA 2021 dan hanya menamatkan saingan AFC B-23 tahun di peringkat kumpulan.

Perkara ini dikongsikan oleh Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj yang memetik kenyataan presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi laman media sosial Twitter miliknya.

Skuad B-23 tahun negara gagal untuk membawa sebarang pingat dari temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi selepas tewas kepada Indonesia pada aksi penentuan pingat gangsa dengan keputusan 4-3 menerusi sepakan penalti setelah terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.

Skuad bimbingan Brad Maloney kemudiannya beraksi dalam saingan AFC B-23 tahun di Uzbekistan dan sekali lagi pulang hampa apabila hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan selepas tewas ketiga-tiga perlawanan ketika menentang Korea Selatan, Vietnam dan Thailand.

Masih belum diketahui rombakan apa yang akan dilakukan oleh FAM namun besar kemungkinan rombakan akan dilakukan di bahagian staf kejurulatihan dimana mungkin ada ketua jurulatih baharu yang dilantik bagi menggantikan Brad.

Sebelum ini, beredar khabar angin yang menyatakan penolong kepada Kim Pan-gon di skuad senior, Pau Marti Vicente bakal diberikan tanggungjawab bagi mengendalikan skuad B-23 tahun negara.

Skuad B-23 Tahun
Sumber Gambar: FAM

Pau Marti Vicente menjadi pembantu jurulatih bagi skuad B-18 tahun Barcelona sejak 2017 dan beliau pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi pembantu jurulatih skuad B-19 tahun dan Barcelona B. Jurulatih berusia 38 tahun itu juga pernah memegang beberapa portfolio ketika bertugas di Hong Kong.

Di Hong Kong, Pau Marti pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat kelab dan kebangsaan. Tiba di Hong Kong dengan reputasi sebagai Pengarah Teknikal dan Pengurusan Sukan Sekolah Sukan Barcelona (ESCOLA), beliau kemudiannya diberikan kepercayaan untuk mengendalikan skuad remaja (feeder club) Kitchee FC pada 2011.

Pada tahun berikutnya, Pau Marti diberikan kepercayaan untuk bergelar pembantu jurulatih kepada Josep Gombau (juga dari Sepanyol) dan membantu kelab itu meraih kejayaan segera merangkul kejuaraan Liga Hong Kong selama dua musim berturut-turut.

Pau Marti juga pernah mengendalikan skuad B-13 Hong Kong, sebelum diberikan tanggungjawab sebagai pembantu dan penganalisis perlawanan pada November 2012 ketika Kim Pan-gon buat kali pertama dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Ahmad Faizal Anggap Kain Rentang ‘Jangan Hisap Gam’ Sebagai Nasihat Yang Baik

Dion Cools: Saya Sanggup Mati Demi Malaysia

Harimau Malaya Tamatkan Penantian 43 Tahun, Layak Ke Piala Asia 2023 Secara Merit