Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pengurus AS Roma, Jose Mourinho kini sudah berada di Rome untuk mengendalikan sesi latihan pra-musim pasukan baharunya itu bagi menghadapi kempen 2021/22.

Dipecat daripada jawatan di Tottenham Hotspur pada 19 April, Mourinho tidak perlu menunggu lama apabila dua minggu kemudian, beliau telah ditawarkan kontrak selama tiga musim untuk membimbing kelab dalam saingan Serie A itu.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Presiden AS Roma, Dan Friedkin mengakui kehadiran Mourinho adalah merupakan langkah besar dalam membina perancangan jangka panjang dan pembentukan budaya kemenangan yang konsisten buat kelab tersebut.

Sehubungan dengan itu, sebagai seorang pengurus yang digelar ‘The Special One’, Mourinho sudah pasti menyimpan hajat besar untuk menghadirkan kejayaan buat AS Roma seperti dilakukannya ketika bersama Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United.

Bertepatan dengan sasaran kelab tersebut, pengendali kelahiran Portugal itu telah melakukan pembaharuan buat AS Roma apabila beliau meminta pasukan untuk meletakkan skrin LCD gergasi di Pusat Latihan Trigoria.

Menurut laporan Football Italia, permintaan tersebut adalah bertujuan memudahkan Mourinho untuk menunjukkan semula kesilapan yang dilakukan oleh para pemain pada waktu itu dengan menggunakan rakaman dron.

Seperti yang dilaporkan oleh Minews pula, ia juga sebagai langkah pertama buat beliau bagi mengubah pemikirannya dalam memahami para pemain serta keseluruhan pasukan.

Selain itu, Mourinho turut berhasrat untuk membiarkan anak buahnya mengenali beliau dengan jelas hasil bantuan teknologi. Dengan adanya skrin gergasi tersebut, Mourinho juga berharap dapat melakukan analisis video pada bila-bila masa.

Beliau juga boleh berkomunikasi bersama para pemainnya dengan cara lebih baik, mencari kesilapan ketika sesi latihan yang boleh diperbetulkan serta melihat kelebihan dan persembahan positif untuk menjadi perhatian semua.

Baca artikel lain mengenai Jose Mourinho:

RASMI: Mourinho Pengurus Baharu Roma Musim Depan, Mahu Bina Projek Kemenangan Konsisten

Mourinho Menjelaskan Taktikal Inter Menghapuskan Impak Messi Ketika Berdepan Barcelona Pada 2010

Solskjaer Tuduh Son Penipu, Mourinho Anggap Son Bertuah Kerana Tidak Berbapakan Ole

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group