Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin telah mengumumkan penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) buat kali pertama dalam saingan AFC Champions League (ACL) bermula pada bulan September ini.

Keputusan itu dibuat selepas AFC mengadakan pelbagai kursus dan seminar pengadil sejak tahun 2017 dan mereka akan menganjurkan bengkel khas minggu depan untuk membentangkan maklumat terkini mengenai VAR.

“Untuk mengukuhkan kemampuan AFC menggunakan sistem VAR dalam ACL, satu bengkel Pegawai Maklumat VAR (VIO) akan diadakan pada Rabu untuk memastikan semua VIO mendapat maklumat mengenai perkembangan terkini VAR.

“Sistem VAR yang bertujuan untuk mengurangkan gangguan dengan kebaikan maksimum, terbatas kepada empat keputusan atau insiden yang mengubah permainan khususnya – keputusan gol atau tidak, tendangan penalti, layangan terus kad merah dan keputusan identiti yang salah,” kata satu kenyataan daripada AFC.

Walaupun penggunaan VAR dalam bola sepak dunia sering menimbulkan kontroversi namun AFC menegaskan VAR masih relevan dan mempunyai rekod prestasi yang baik seperti disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

Sistem VAR ini diperkenalkan buat kali pertama ketika saingan suku akhir Piala Asia 2019 di UAE dan turut digunakan dalam kejohanan AFC B-23 di Thailand pada Januari tahun ini.

Saingan kelab elit Asia itu telah ditangguhkan sejak bulan Mac lalu akibat penularan wabak pandemik COVID-19. Situasi itu memaksa AFC mengubah format pertandingan dan setiap perlawanan akan dilangsungkan di venue berkecuali yang telah ditetapkan.

Qatar yang juga tuan rumah Piala Dunia 2022, akan menganjurkan semua perlawanan peringkat kumpulan ACL zon Asia Barat hingga separuh akhir bermula pada 14 September 2020.

Manakala Malaysia dan Thailand dipilih sebagai tuan rumah zon Asia Timur.

Berdasarkan jadual, wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menentang kelab China, Guangzhou Evergrande pada 17 Oktober dan kemudian menentang wakil Korea Selatan, Suwong Samsung Bluewings pada 23 Oktober 2020.

Pada 29 Oktober, skuad Harimau Selatan ini akan bertemu wakil Jepun, Vissel Kobe sebelum melengkapkan perlawanan pusingan awal berhadapan Guangzhou Evergrande pada 1 November.

Baca artikel lain mengenai perkembangan AFC Champions League melalui pautan dibawah. 

Qatar Dipilih Sebagai Tuan Rumah Perlawanan AFC Champions League Zon Asia Barat

Malaysia Jadi Tuan Rumah Perlawanan AFC Champions League Kumpulan G Dan H

Jadual AFC Champions League Berisiko Bertembung Dengan Jadual Piala Malaysia