Artikel ini merupakan sambungan kepada Siri 1: Apa Yang MFL Boleh Lakukan Untuk ‘Guide’ Pemain Profesional Baharu Dalam Liga Bola Sepak Malaysia berdasarkan Seminar ‘Crash Course‘ yang diadakan oleh JLeague kepada pemain yang baru menandatangani kontrak profesional.

Pada hari kedua acara, sesi yang bermula seawal jam 9 pagi dimulakan dengan satu ujian peraturan permainan bola bola sepak semua pemain-pemain sebagai satu ‘refresher‘, yang bertujuan untuk mereka lebih mengetahui apa sebenarnya undang-undang dan peraturan bola sepak. Walaupun mereka sudah bertaraf profesional, ini tidak bermakna setiap pemain faham mengenai peraturan permainan sebenarnya.

Ada dikalangan pemain-pemain ini yang berjaya mencatatkan keputusan 100% dan ada juga diantara mereka yang terpaksa mengambil ujian tambahan selepas gagal melepasi markah yang ditetapkan.

Tujuan kepada sesi pertama ini adalah untuk menyiapkan pemain-pemain baru ini dengan ilmu pengetahuan mengenai sukan yang mereka akan tampil secara profesional tidak lama lagi.

Sebagai bonus, JLeague telah menjemput seorang pegawai dari JFA yang juga merupakan ahli kepada persatuan pengadil Jepun, Kenji Ogiya bagi memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan ‘Fair Play yang harus diterapkan dalam diri setiap pemain.

14010_1

Dalam sesi pada hari kedua ini, topik paling besar yang dibincangkan adalah mengenai KOMUNIKASI.

Kenapa topik ini menjadi perkara paling teras bagi mereka?

Pada mereka selepas pemain-pemain ini muncul beraksi diatas padang secara profesional, semuanya akan menjadi lebih dekat dengan penyokong dan juga pihak media.

Jadi, bagi melengkapkan diri sebagai pemain profesional untuk menghadapi perkara-perkara seperti ini, pihak JLeague akan memberikan panduan kepada pemain-pemain bagaimana cara untuk menjawab soalan dan cara bercakap dihadapan media terutamanya TV yang dilihat sebagai salah satu aset yang perlu ada pada pemain profesional.

Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap ahli kumpulan wajib untuk melakukan ‘mock-up‘ temubual – perkenalkan diri, dihadapan kamera sebenar yang dirakam. Video rakaman itu kemudian, ditayangkan dan fasilitator akan memberikan komen-komen bagi setiap video seperti “Senyum!”, “Betulkan Postur Badan!”, “Buka mulut luas lagi!” dan sebagainya.

Dalam sesi itu, diterangkan 3 elemen utama berkaitan komunikasi iaitu “Ekspresi muka”,”Pertuturan yang jelas” dan “Behavior” – dan mereka telah mengadakan latihan bagaimana untuk memperbetulkan perkara ini sebelum berhadapan dengan dunia profesional diluar sana nanti.

“Dari sekarang, mereka akan lebih mudah terdedah kepada pihak media, dan adalah sangat penting untuk mereka mempersiapkan diri untuk tampil sebagai profesional. Ini juga merupakan salah satu daripada perkara yang perlu ada dalam diri mereka sebagai seorang pemain profesional.”

Pada sebelah malam, satu sesi “media training” diadakan dimana pemain akan berdiri diatas pentas sambil ditemubual oleh wartawan didalam dewan. Mereka mengadakan satu sesi seperti dalam saluran berita sukan sebenar bagi memberikan gambaran yang sebenar.

14010_2

Gambar diatas adalah merupakan 3 orang pemain yang dipilih sebagai ‘ujian’ dalam media training – dari kiri, Ryo Watanabe (Azul Claro Numazu), Genki Egawa (Kyoto Sanga FC) dan Ryuho Kikuchi (Renofa Yamaguchi FC).

Selain itu, para pemain juga diberikan kelas bertajuk “Pemain dan Media Sosial”. Pihak JLeague sedar bahawa ketika ini adalah zaman media sosial dan sebarang perkongsian yang tidak betul mampu memberikan impak yang negatif kepada pemain yang sangat merbahaya kepada karier mereka.

“Ketika zaman sekolah tinggi SNS (Social Networking Services) tidak dibenarkan sama sekali, selepas tamat baru saya mulakannya.” kata Mikuni Kennedy, bekas pemain Aomori Yamada High School yang akan beraksi untuk Avispa Fukuoka dalam saingan J2 League 2019.

14010_3

“Saya baru sahaja mula menggunakannya dan tidak berapa tahu mengenai betapa bahayanya SNS kepada pemain profesional, dan selepas mendengar taklimat kesedaran mengenai perkara ini cukup berharga untuk saya.”

Seorang lagi pemain dari Aomor Yamada High School yang berjaya memiliki kontrak profesional bersama Consadole Sapporo, Riku Danzaki turut memberitahu beliau mula menggunakan SNS selepas tamat sekolah tinggi.

“Untuk menaikkan nilai diri sebagai pemain profesional, saya telah diberikan maklumat yang jelas bagaimana untuk menggunakan SNS dengan betul. Selain banyak perkara baik yang diperolehi banyak juga perkara negatif yang muncul dalam SNS, dan dalam sesi ini saya telah banyak belajar mengenainya.”

Jika digunakan dengan betul, bilangan fans akan meningkat, seterusnya menaikkan lagi nilai pemain itu sendiri. Sebaliknya jika digunakan dengan cara yang salah, mereka akan kehilangan fans dan bakal merendahkan nilai mereka.

“Di platform media sosial sebarang kenyataan atau perkongsian adalah berkadar terus dengan nilai diri dimasa depan.” Seorang fasilitator sesi itu menyatakan bahawa penggunaan sosial media yang betul dikalangan pemain bola sepak sekarang adalah sesuatu yang sangat diperlukan.

Selain tajuk SNS, para pemain juga ‘dihidangkan’ dengan tema mengenai risiko yang bakal dihadapi oleh mereka apabila bergelar pemain profesional yang terkenal.

Apabila beraksi secara profesional, sudah pasti para pemain yang menjadi terkenal dan mereka akan lebih ‘exposed‘ kepada pelbagai risiko dari luar. Pengaruh mereka juga boleh dikatakan semakin tinggi kepada masyarakat setempat dan pemain perlu tahu bagaimana untuk bertindak balas dalam hal ini.

Risiko seperti hubungan berlainan jantina, kuasa kritikan masyarakat, tawaran dari pihak yang mahu mengambil kesempatan serta penggunaan dadah larangan dan lain-lain lagi akan semakin dekat dengan pemain.

Bagaimana para pemain mampu untuk mengelakkan perkara seperti ini dari berlaku? Ini adalah salah satu lagi ciri yang perlu ada untuk muncul sebagai pemain profesional yang berkualiti.

Perkara ini adalah cukup penting kerana jika ianya tidak dibendung, bukan sahaja akan mengakibatkan kerosakan kepada pemain itu sendiri malahan memberikan satu pengaruh besar yang cukup bahaya kepada masyarakat.

“Pelbagai senario ditunjukkan, dan bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk berlaku, pencegahan perlu dilakukan dengan betul. Berada diluar padang juga sebagai seorang pemain profesional, kesedaran seperti ini sudah pasti menjadi rutin saya selepas ini.”, jelas Taisei Miyashiro, pemain dari Kawasaki Frontale.

Pemain-pemain juga diberikan taklimat khusus mengenai doping‘, ‘match-fixing‘, serta diskriminasi pemain juga turut diberikan perhatian khusus kepada pemain-pemain yang baru ini.

Mereka diberikan input yang mencukupi mengenai akibat yang akan diterima serta kesan daripada terlibat dalam aktiviti yang sebenarnya tidak diperlukan oleh mereka dalam membina karier sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Lebih dari 5 modul disampaikan kepada semua pemain-pemain pada hari kedua program sebagai persediaan untuk mereka menghadapi dunia sebenar sebagai seorang pemain profesional yang mungkin tidak pernah mereka tahu sebelum ini.

Sumber