Hari ini berlangsung undian rasmi Piala Suzuki AFF 2020 untuk membahagikan 10 pasukan kepada 2 kumpulan. Kali ini Malaysia berada dalam kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Manakala juara 5 kali, Thailand berada dalam kumpulan A bersama Filipina, Myanmar, Singapura dan pemenang peringkat kelayakan sama ada Timor Leste atau Brunei. Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.

Bagaimanapun, Federasi Bola Sepak Asean (AFF) belum mengumumkan secara rasmi negara yang menjadi tuan rumah kejohanan itu. Mengambil kira situasi semasa wabak COVID-19, saingan peringkat kumpulan bagi Piala Suzuki AFF 2020 ini dijangka akan dijalankan di venue berpusat, berbeza dengan format terdahulu pada edisi 2018.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan, venue rasmi kejohanan itu akan dimuktamadkan pada penghujung bulan September ini dan bakal dijalankan secara karnival.

“Kita mesti menilai situasi semasa wabak COVID-19 di negara Asia Tenggara. Oleh itu, AFF telah meneliti dan memutuskan pilihan yang tepat. Ini membantu kita mengawal wabak dengan lebih baik. Sudah tentu, format baharu ini akan membuat banyak pasukan kehilangan peluang bermain di tempat sendiri.

“Sebaliknya, negara yang dipilih sebagai tuan rumah harus bekerja keras kerana terdapat 10 pasukan yang bertanding di satu tempat. Pencegahan wabak COVID-19, penganjuran kejohanan selama sebulan dalam bentuk gelembung tidaklah begitu mudah,​” kata Quoc Tuan dipetik dalam Bongdaplus.

Laporan daripada Siam Sport menyebut Singapura menjadi pilihan utama sebagai tuan rumah Piala Suzuki AFF 2020 berdasarkan kemampuan negara itu menyediakan bantuan perubatan, kawalan wabak COVID-19 dan kemudahan sukan.

“Menurut data terbaru, ada kemungkinan 99% Singapura akan menjadi tuan rumah Piala AFF 2021.” memetik petikan daripada akhbar Siam Sport.

Selain Singapura, Kemboja juga berminat untuk menjadi tuan rumah Piala Suzuki AFF 2020 dan mereka menawarkan stadium baharu yang lebih moden untuk menganjurkan semua perlawanan Piala Suzuki AFF.

Stadium ini baru siap sepenuhnya sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2023. Mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 60,000, stadium ini dibuka secara rasmi pada bulan Mei lalu.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Jordan Dan Uzbekistan Uji Kekuatan Harimau Malaya Pada Bulan Oktober

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya