Singapura kehilangan salah seorang pemain tonggak di bahagian pertahanan apabila mereka bertemu Indonesia pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala AFF Suzuki 2020 hari ini.

Pemain yang dimaksudkan ialah Shakir Hamzah dimana bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) dan Perak itu mengalami kecederaan lutut sekaligus terpaksa melupakan baki saingan edisi kali ini.

Shakir dibawa keluar pada minit ke-12 ketika aksi peringkat kumpulan terakhir menentang Thailand dimana selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, pemain berusia 29 tahun itu disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament, Medial Collateral Ligament dan Meniscus pada lutut kanannya.

“Saya kecewa kerana mengalami kecederaan ini dan tidak dapat membantu pasukan beraksi pada peringkat seterusnya. Saya akan terus memberikan sokongan kepada pasukan ketika saya fokus untuk proses pemulihan. Saya juga berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan dan sudah pasti saya akan kembali dengan lebih baik.

“Peminat sudah pasti berada di belakang pasukan. Para pemain layak untuk menerima kredit kerana telah menampilkan kerja keras dan usaha yang baik. Saya sudah berada bersama rakan sepasukan selama 12 minggu dan pertandingan kali ini amat bermakna buat semua pihak,” kata Shakir.

Dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020, Shakir banyak beraksi di posisi pertahanan kiri selepas bahagian tengah diisi oleh pemain Selangor, Safuwan Baharudin dan pemain BG Pathum United, Irfan Fandi.

Nur Adam Abdullah menjadi satu-satunya pengganti kepada Shakir di posisi pertahanan kiri. Beberapa pemain lain seperti pemain sayap, Zulfahmi Arifin, dua pemain pertahanan kanan, Zulqarnaen Suzliman dan Tajeli Salamat juga boleh diturunkan di posisi tersebut.

Ketua jurulatih, Tatsuma Yoshida menganggap kehilangan Shakir memberikan kesan besar terhadap pasukan kerana pemain itu menampilkan prestasi cemerlang sepanjang aksi peringkat kumpulan.

Singapura muncul naib juara kumpulan A dan akan bertemu juara kumpulan B, Indonesia pada aksi peringkat separuh akhir yang berlangsung hari ini. Perlawanan kedua akan berlangsung pada 25 Disember.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Teamtalk Shin Tae-yong Ini Dedahkan 4 Kelemahan Utama Skuad Malaysia Ketika Bertemu Indonesia

Gagal Di Piala AFF Suzuki 2020, Lim Teong Kim Persoal MFL Dan FAM

Chanathip Songkrasin Muat Naik IG Story ‘Swap’ Jersi Dengan Safawi Rasid, Ucap Semoga Cepat Sembuh